Sekilas
- Datuk Rosyam Nor menang Pelakon Pembantu Terbaik di International Film Festival Of Australia (IFFA) 2025 menerusi watak Inspektor Johari.
- Filem Banduan menang Filem Terbaik Antarabangsa dan meraih kutipan RM8 juta sejak tayangan 6 November lalu.
- Datuk Aaron turut tercalon Pelakon Filem Terbaik, manakala Banduan menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Datuk Afdlin Shauki dan Husyairi Hussain.
Pelakon, Datuk Rosyam Nor mencipta rekod apabila muncul sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Pembantu Terbaik di International Film Festival Of Australia (IFFA) 2025 pada Sabtu.
Dengan memegang watak sebagai Inspektor Johari, lakonan mantapnya telah berjaya menewaskan pesaing sengit seperti Sandy Master, Shukri Yahaya dan Woody Harrelson.
Dalam anugerah sama, filem Banduan turut memenangi kategori Filem Terbaik Antarabangsa, sekali gus membuktikan bahawa karya tempatan mampu bersaing dan diiktiraf di persada antarabangsa.
Selain itu, Datuk Aaron turut tercalon dalam kategori Pelakon Filem Terbaik, menambah lagi kebanggaan industri seni tempatan.
Dalam perkembangan lain, filem aksi arahan Kroll Azry ini meraih kutipan tayangan sebanyak RM8 juta di pawagam seluruh negara sejak ia mula ditayangkan pada 6 November lalu.
Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama Number Twenty One Media, Banduan merupakan adaptasi rasmi daripada filem pecah panggung India, Kaithi.
Filem ini mengisahkan seorang banduan yang bekerjasama dengan pihak polis untuk menumpaskan sindiket dadah dalam misi berbahaya sambil berusaha menemui anak perempuannya.
Selain Aaron dan Rosyam, Banduan turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.