Seorang wanita berusia 50 tahun di China mencuri perhatian ramai apabila berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana walaupun berdepan kecederaan teruk akibat kebakaran lebih 10 tahun lalu.
Wanita yang dikenali sebagai Yang itu menerima surat tawaran daripada Southwest Forestry University di Kunming, Wilayah Yunnan pada Julai lalu untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang.
Advertisement
Lebih mengagumkan, Yang menduduki ujian kemasukan universiti tersebut sebanyak dua kali sebelum berjaya menempatkan diri.
“Pernah satu ketika saya alami kemalangan dan menjadi kurang upaya. Saya hilang pekerjaan, jadi murung. Kini pada usia 50 tahun, saya akan memulakan perjalanan baharu untuk mengejar impian sarjana undang-undang,” tulisnya di media sosial.
Yang sebelum ini merupakan graduan Tongji University, Shanghai pada pertengahan 1990-an dalam bidang kimia.
Namun pada tahun 2013, tragedi kebakaran menyebabkan wajah serta kedua-dua belah tangannya melecur teruk.
Katanya, lengan kiri langsung tidak berfungsi, manakala lengan kanan hanya mampu digunakan separuh sahaja.
Sejak itu, dia perlu memakai topeng apabila keluar kerana parut di wajahnya yang jelas kelihatan.
Akibat trauma dan kemurungan, Yang terpaksa berhenti kerja dan hidup dengan pencen.
Namun, keinginannya untuk menyambung pelajaran tidak pernah padam sejak dua dekad lalu.
Menariknya, semangat untuk menduduki ujian datang selepas anaknya sendiri gagal dalam peperiksaan yang sama dua tahun lepas.
“Saya tolong susun buku ulang kaji anak selepas dia habis ujian. Sayang pula kalau jual murah, jadi saya selak beberapa muka surat. Rupanya kandungan tidaklah terlalu susah untuk saya. Dari situ saya nekad guna buku anak sebagai rujukan,” katanya.
Walaupun mengaku subjek Bahasa Inggeris paling mencabar kerana sudah lebih 20 tahun tidak menggunakannya, sokongan suami dan anak membuatkan dia tekad sampai berjaya.
Malah, ketika peperiksaan berlangsung, dia terpaksa membuka topeng sehingga menimbulkan kejutan kepada calon lain. Namun, katanya, dia sudah terbiasa dengan reaksi seperti itu.
Kini, Yang menggunakan wang pencennya untuk menampung kos pengajian sarjana.
“Ada orang bersara untuk menari atau melancong. Saya pilih belajar. Itu lebih indah untuk hidup saya.
“Tidak kira di tahap mana sekali pun dalam hidup, jangan pernah berhenti mengejar impian," ujarnya.