Sekilas
- Lan Laga menegaskan isu royalti lagu boleh diselesaikan dengan baik asalkan ada kebenaran dan dokumen rasmi sebelum merakam semula lagu.
- Beliau menasihatkan agar urusan royalti dilakukan terus dengan syarikat berkaitan tanpa melalui pihak ketiga untuk elak masalah pembayaran.
- Anak bongsu Lan, Syailah Kamaruzaman, baru sahaja melancarkan Gisomo Coffee di Cyberjaya yang menawarkan konsep kopi berkualiti dan hidangan kreatif Melayu-Barat.
Komposer, Lan Laga berpendapat bahawa isu royalti sesebuah lagu tidak perlu diperbesarkan dan boleh diselesaikan dengan cara baik.
Menurutnya, setiap lagu mempunyai hak cipta tersendiri dan mana-mana individu yang berhasrat untuk menyanyi atau merakam semula sesebuah karya perlu menyediakan dokumen serta surat kebenaran yang berkaitan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
“Secara peribadi, saya tiada masalah kalau perkara ini berlaku pada saya. Saya jenis yang ‘let go’ sahaja. Benda kecil, tak perlu diperbesarkan. Cuma minta kebenaran daripada pencipta dan pastikan ada surat hitam putih supaya lebih kukuh.
“Hak cipta itu tetap milik pencipta. Kebenaran sesebuah lagu adalah universal. Sesiapa sahaja boleh menyanyikannya, cuma tidak boleh merakam semula tanpa kebenaran. Kalau nak rakam balik, memang perlu ada lesen. Kena minta izin daripada publisher di bawah syarikat hiburan tersebut dan seterusnya kembali kepada pencipta. Ada peratusannya. Royalti pula ada penama, dan ia boleh diwarisi sampai tujuh keturunan," katanya kepada Gempak.
Lan berkata demikian Ketika mengadakan majlis pembukaan Gisomo Coffee di Tamarind Square pada Sabtu.
Penulis lagu terkenal itu turut menasihatkan agar individu yang ingin merakam semula lagu berurusan terus dengan syarikat berkaitan dan bukan melalui pihak ketiga bagi mengelakkan kelewatan bayaran atau isu lain yang tidak diingini.
“Ada juga yang menandatangani melalui pihak ketiga atau terus direct. Kalau melalui orang tengah, pembayaran dibuat kepada syarikat, syarikat bayar orang tengah, kemudian orang tengah bayar artis. Tapi dalam dunia sekarang, lebih baik terus terus direct ke MCP. Nak main orang tengah memang susah sebab risiko tinggi. Bila bab duit, manusia mudah gelap mata. Mereka tahu duit itu perlu dibayar, tapi ada yang sengaja tahan sampai habis tempoh.
Terdahulu, penyanyi, Nora memuat naik hantaran di Insta Stories mempersoalkan siapa yang memberi keizinan kepada Rossa merakamkan semula lagu Sinaran yang dimuatkan dalam mini album terbaharu penyanyi itu berjudul Asmara Dansa.
Bagaimanapun, Rossa menjelaskan bahawa isu royalti lagu Sinaran yang dibawakan semula olehnya telah diselesaikan secara baik bersama Nora yang juga merupakan kenalan lamanya.
Dalam perkembangan lain, anak bongsu Lan iaitu Syailah Kamaruzaman telah melancarkan sebuah kafe gaya hidup baharu iaitu Gisomo Coffee, baru-baru ini.
Konsep Gisomo menekankan kopi berkualiti, hidangan kreatif Melayu–Barat dan suasana santai yang menyasarkan komuniti pelajar, pekerja kreatif dan profesional di Cyberjaya.
Menunya menawarkan hidangan unik seperti Tart Lompat Tikam, Keropok Lekor, Nasi Alam, di samping pilihan Barat seperti pasta, smoothies sihat dan granola bowls.
Gisomo turut beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, di Tamarind Square, Cyberjaya.