Sekilas
- Amyza Aznan memutuskan untuk berhijab sepenuhnya sejak Oktober lalu secara spontan tanpa paksaan atau dugaan hidup.
- Keputusan berhijab itu didorong oleh keinginan untuk menjadi wanita dan ibu yang 'mahal', serta mendapat sokongan positif daripada anak-anaknya.
- Penghijrahannya tidak menjejaskan kerjaya seni, malah rakan sekerja menghormati batasan yang ditetapkan selepas dia berhijab.
Pelakon, Amyza Aznan memaklumkan bahawa keputusannya untuk berhijab sepenuhnya sejak Oktober lalu tidak didorong dari mana-mana pihak dan berlaku secara spontan.
Aktres drama Anugerah Tanpa Cahaya itu menegaskan bahawa keputusan tersebut bukanlah berpunca daripada sebarang dugaan atau ujian hidup yang pernah dilaluinya.
Sebaliknya, perkara itu didorong dengan satu perasaan dalam dirinya untuk menjadi seorang wanita dan ibu yang ‘mahal’.
“Tiada dorongan daripada sesiapa. Bila saya sudah bertudung ini, barulah saya sedar bahawa apabila Allah berkehendak, segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata.
“Saya sendiri melalui perkara itu. Semalam mungkin saya langsung tidak terfikir untuk memakai tudung, tetapi keesokan harinya ia berlaku sekelip mata,”
"Ramai yang beranggapan keputusan saya berhijab mungkin disebabkan dugaan atau ujian yang pernah saya lalui sebelum ini, tetapi sebenarnya tidak.
“Apa yang mendorong saya berhijab ialah keinginan untuk merasakan diri saya ‘mahal’. Saya nampak anak-anak mahukan saya nampak ‘mahal’. Respons anak-anak dengan keputusan ini mereka sangat suka,” katanya kepada Gempak.
Amyza berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran Ramadan Raya 2026: Jwanjih Drama! Di TGV Cinema Suria KLCC, semalam.
Dalam masa sama, Amyza turut berkata penghijrahannya itu tidak menjejaskan kerjayanya sebagai seorang anak seni malah dia bersyukur kerana mempunyai rakan sekerja yang memahami dan menghormati batasan ketika dalam pengembaraan.
“Selepas berhijab, Alhamdulillah, tawaran kerja masih ada. Dari segi batasan pula, sebenarnya sejak sebelum berhijab lagi saya memang menjaga batas.
“Melainkan ada adegan kasar yang benar-benar memerlukan, itu terpaksa dilakukan. Namun sekarang selepas berhijab, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik.
“Mudah juga untuk bekerjasama dengan pelakon lelaki kerana mereka juga faham dan menghormati batas. Tiada sebarang masalah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amyza membintangi drama Anugerah Tanpa Cahaya yang akan bersiaran sebanyak 10 episod mulai 16 Mac ini.