Sekilas
- Azeva mengucapkan terima kasih kepada penonton dan peminat atas sokongan mereka sepanjang minggu kedua Borneo Rising bersama Zizan Razak.
- Dia terbuka menerima teguran untuk memperbaiki kualiti pengacaraannya dan menjelaskan beberapa idea terpaksa ditangguhkan kerana kekangan masa.
- Borneo Rising disiarkan secara langsung setiap Ahad di Astro Ria dan TV Okey, dengan penjurian melibatkan juri profesional dan undian penonton.
Penyanyi, Azeva merakamkan penghargaan kepada semua penonton dan peminat yang memberikan sokongan sepanjang gandingannya bersama Zizan Razak pada minggu kedua Borneo Rising.
Menerusi perkongsian di Threads, Azeva berkata dia sentiasa terbuka menerima teguran daripada orang ramai untuk memperbaiki kualiti pengacaraannya.
Malah, anak kepada penerbit Datuk A.Aida itu turut berkongsi bahawa masih banyak perkara yang ingin ditonjolkan ketika mengendalikan program tersebut bersama Zizan.
Bagaimanapun, kekangan masa menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan beberapa idea dan rancangan yang ingin dilakukan di atas pentas.
“Alhamdulillah. Terima kasih semua yang datang dan beri sokongan dekat saya. Maaf kalau ada kekurangan.
“Ada banyak benda sebenarnya kami nak buat atas stage tetapi masa agak limited. Saya akan baca nasihat dan teguran korang.
“Saya sangat hargainya. Azeva akan cuba lagi untuk perbaiki dan jadi yang lebih baik untuk korang. Terima kasih kerana masih percayakan saya dan menjadi sebahagian di dalam perjalanan ini,” tulisnya.
Sekadar info, Azeva pertama kali bergandingan bersama Zizan Razak menerusi minggu kedua Borneo Rising bagi menggantikan Sherry Al-Hadad buat sementara waktu.
Sherry tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya pada minggu tersebut kerana terlibat dalam sebuah pementasan teater.
Bintang Borneo Rising diadili oleh tiga juri tetap iaitu Noh Salleh, Marsha Milan dan Shila Amzah.
Penjurian Borneo Rising ditentukan menerusi 80 peratus pemarkahan juri profesional dan 20 peratus undian penonton.
Borneo Rising dihoskan oleh Zizan Razak dan Sherry Al-Hadad selama lapan minggu, bermula 6 September hingga 25 Oktober 2026.
Program itu bersiaran secara langsung dari ITCC Mall, Penampang, Sabah, setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104) dan TV Okey (saluran 146), selain boleh distrim secara On Demand melalui Astro GO, Sooka dan RTMKlik.