Sekilas
- Aadel, peserta pertama tersingkir dari Borneo Rising, mengakui kurang keyakinan diri selepas melihat kehebatan vokal peserta lain.
- Dia sedar banyak kekurangan terutama dari segi vokal dan persembahan, dan berazam untuk terus belajar serta mempromosikan single terbarunya, Rampas Hatiku.
- Borneo Rising disiarkan secara langsung selama lapan minggu di Astro Ria dan TV Okey, dengan penjurian gabungan juri profesional dan undian penonton.
H: Borneo Rising: Peserta Pertama Tersingkir, Aadel Akui Tiada Keyakinan Diri - “Saya Dah Jangka Perkara Ini…”
Bintang Borneo Rising, Aadel mengakui berasa ragu dengan kemampuan dirinya selepas melihat kehebatan vokal peserta lain sepanjang menyertai program tersebut.
Aadel atau nama sebenarnya Hardil Haron, 30 berkata dia sedar masih banyak kekurangan dalam dirinya dan banyak perkara yang perlu diperbaiki terutama dari segi vokal dan persembahan.
“Masa awal masuk-masuk dulu, saya ada rasa was-was sebab saya merasakan suara saya yang paling belakang sekali. Saya ada jumpa penerbit dan tanya kenapa pilih saya. Saya rasa saya paling tua sekali. Dia kata saya ada keistimewaan dan suara saya tersendiri.
“Minggu pertama saya tak yakin sangat. Minggu kedua saya dah ada keyakinan semula tetapi masuk minggu ketiga saya dah tidak yakin lagi.
“Saya dah belajar vokal. Jadi, saya dah lihat kemampuan vokal suara peserta lain yang lebih hebat daripada saya. Saya tahu kelemahan saya di mana. Saya dah jangka perkara ini.
“Saya ada bincang dengan sepupu dan guru saya yang mungkin saya akan dapat masuk ke BR tetapi nak catch up sampai minggu akhir itu susah. Saya kena perform sehabis baik tetapi akhirnya saya tak perform,”katanya ketika dihubungi Gempak.
Katanya lagi, pengalaman berada di pentas Borneo Rising membuatkan dia sedar masih banyak perkara yang perlu dipelajari.
“Mungkin sebab saya masih terkejut lagi dengan benda baru, muzik dan sebagainya. Boleh nampak muka saya cuak. Saya tak dapat kawal muka gemuruh, pitching dan pernafasan.
“Dulu saya tiada ilmu, sekarang masuk ibarat universiti. Siapa perform dapat lulus dalam exam,”ujarnya.
Dalam masa sama, Aadel yang berasal dari Kuching, Sarawak itu mengakui masih banyak perkara yang ingin ditonjolkan dan tidak akan berputus asa dalam bidang yang diminatinya.
Malah, dia turut mengambil peluang menerusi platform Borneo Rising untuk mempromosikan single terbaharunya berjudul Rampas Hatiku.
“Saya rasa tak sempat keluarkan lagi potensi diri. Tetapi tidak mengapalah, saya akan cuba lagi. Mungkin daripada kumpulan band saya sendiri.
“Saya dah ada plan untuk keluarkan single dan sedang promosi lagu. Kat sini orang dah kenal sikit dan ambil peluang ini untuk tarik perhatian ramai orang. Saya keluarkan lagu sebelum masuk Borneo Rising. Nyanyi bukan sekadar minat. Saya akan belajar semula. Setiap bulan saya akan ke kelas vokal,” katanya lagi.
Sebelum ini, perjalanan Aadel dalam Borneo Rising terpaksa berakhir apabila dia diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada minggu ketiga.
Penjurian Borneo Rising ditentukan menerusi 80 peratus pemarkahan juri profesional dan 20 peratus undian penonton.
Borneo Rising dihoskan oleh Zizan Razak dan Sherry Al-Hadad selama lapan minggu, bermula 6 September hingga 25 Oktober 2026.
Program itu bersiaran secara langsung dari ITCC Mall, Penampang, Sabah, setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104) dan TV Okey (saluran 146), selain boleh distrim secara On Demand melalui Astro GO, Sooka dan RTMKlik.