Sekilas
- Astro Audio melancarkan lagu raya khas berjudul "Inilah Raya" yang menampilkan hampir 20 penyampai radio dari enam stesen Melayu di bawah rangkaian mereka.
- Lagu ini digubah oleh Amy Bong dengan konsep moden tradisional dan dilancarkan secara rasmi bersama TikTok Shop untuk mendekati pengguna digital di Malaysia.
- Pelancaran lagu ini bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri serta menjadi hadiah khas kepada pendengar setia Astro Audio, dengan video muzik rasmi dijangka keluar pada 13 Mac.
Astro Audio buat julung kalinya melancarkan sebuah lagu raya khas berjudul “Inilah Raya”, menampilkan hampir 20 penyampai radio daripada rangkaian stesen Melayu di bawah Astro Audio iaitu ERA, ERA Sabah, ERA Sarawak, SINAR, THR GEGAR dan ZAYAN.
Lagu yang digubah oleh komposer dan penulis lirik berbakat, Amy Bong, ini mengetengahkan konsep moden tradisional, menampilkan susunan muzik ceria, mesra telinga dan sesuai untuk menyemarakkan suasana menyambut Aidilfitri.
Buat pertama kalinya juga, pelancaran lagu raya ini dijayakan melalui kerjasama rasmi bersama TikTok Shop, sebagai usaha mendekati pengguna dan peminat kandungan digital di seluruh Malaysia.
Menurut Ketua Pengurus Stesen Radio Astro Audio, Dharmendra berkata pojek tersebut amat istimewa kerana ia merupakan kali pertama Astro Audio menghasilkan lagu raya yang melibatkan enam stesen radio, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.
“Kami berharap lagu ‘Inilah Raya’ menjadi irama yang menemani pendengar sepanjang perjalanan pulang ke kampung, saat berkumpul bersama keluarga, dan ketika menyambut 1 Syawal yang penuh makna. Lagu raya sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya Malaysia, melangkaui kaum, agama dan negeri ia membawa rasa nostalgia dan kegembiraan yang sukar diganti.
“Projek ini juga merupakan hadiah khas kepada pendengar setia Astro Audio. Tanpa sokongan mereka, penyampai-penyampai kami tidak akan menjadi suara yang dekat di hati masyarakat. Melalui lagu ini, kami ingin berkongsi kegembiraan dan semangat bersyukur menyambut Hari Raya. Kami juga gembira dapat bekerjasama dengan rakan kami di TikTok Shop bagi memastikan lagu ini dapat dinikmati oleh lebih ramai pengguna di pelbagai platform.
“Kami berharap ‘Inilah Raya’ bukan sahaja menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini, tetapi terus menjadi lagu yang dikenang dan disukai untuk tahun-tahun mendatang," katanya.
“Inilah Raya” dilancarkan secara serentak pada 5 Mac, bermula 9 pagi, di kesemua rangkaian stesen radio Melayu Astro Audio.
Video muzik rasmi pula bakal dilancarkan pada 13 Mac, merakamkan kemeriahan, keakraban dan semangat penyampai radio yang bersama-sama menjayakan rakaman ini.