Sekilas
- Seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun dipercayai dicabul dan dicederakan oleh seorang lelaki tidak dikenali di Jalan Bakawali, Bukit Sentosa, Hulu Selangor.
- Suspek berumur 23 tahun telah ditahan dan ujian air kencingnya positif dadah, kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.
- Kejadian disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun berdepan detik cemas apabila dipercayai dicabul dan dicederakan selepas ditarik lelaki tidak dikenali semasa melalui Jalan Bakawali, Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian kira-kira jam 8 malam.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa mangsa bersama kakak dan abangnya melalui jalan terbabit untuk ke pasar malam.
"Tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali telah menarik mangsa masuk ke dalam rumah.
"Kemudian suspek telah memukul mangsa menggunakan kaki dan tangan sehingga menyebabkan kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ibrahim berkata, pihak Polis Bukit Sentosa telah menahan suspek iaitu seorang lelaki tempatan di rumahnya.
Tambahnya, suspek berumur 23 tahun merupakan penganggur selain ujian saringan air kencing terhadapnya didapati positif dadah.
"Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu dan dibenarkan reman empat hari sehingga 2 Februari," ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tegasnya, polis memandang berat dengan kejadian yang berlaku serta percaya dengan tertangkapnya suspek ini telah berjaya menyelesaikan kes yang berlaku di Hulu Selangor sekali gus meningkatkan kepercayaan serta keyakiman masyarakat terhadap polis.
Sebelum itu, tular kenyataan seorang wanita dipercayai ibu mangsa yang mendedahkan detik kejadian terbabit.
Turut tular beberapa gambar mangsa yang mengalami kecederaan.
Sumber: Sinar Harian