Seorang wanita bertindak memotong alat sulit suaminya akibat cemburu selepas menemui mesej mesra suaminya bersama wanita lain.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kebon Jeruk, AKP Ganda Sibarani berkata, suspek berusia 33 tahun, dikenali sebagai HZ, mengaku melakukan perbuatan itu selepas berang melihat mesej yang dipercayai menunjukkan suaminya, H, 35, mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Advertisement
“Berdasarkan keterangan suspek, tindakannya berpunca daripada rasa cemburu setelah menemui mesej di telefon suaminya yang dipercayai ada hubungan dengan wanita lain,” katanya kepada media pada Isnin.
Kejadian berlaku di kawasan Sukabumi Utara, Kebon Jeruk pada 20 Julai lalu, sebelum polis menjalankan sesi lakonan semula kejadian di Balai Polis Kebon Jeruk pada 21 Oktober sebagai sebahagian daripada siasatan.
Dalam lakonan semula itu, HZ dilihat mengambil telefon bimbit suaminya yang diletakkan di atas meja di bilik tidur, sebelum membaca mesej yang mencetuskan kemarahannya.
Dia kemudian cuba mengejutkan mangsa untuk mengajaknya melakukan hubungan intim, namun lelaki itu enggan dan menuju ke bilik air.
Dalam keadaan marah, suspek menuju ke dapur, mengambil pisau pemotong dan kembali ke bilik tidur. Ketika mangsa sedang berbaring, wanita berkenaan menghampiri dan memotong alat sulit suaminya.
Mangsa yang cedera parah sempat tersedar dan menyoal tindakan isterinya, sebelum wanita itu menuduhnya curang.
Panik dengan apa yang berlaku, suspek memasukkan bahagian organ yang terputus ke dalam plastik. Mangsa yang menahan kesakitan kemudian dibawa oleh isterinya ke Hospital Anggrek Mas dengan menaiki motosikal, sebelum dirujuk ke Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM).
“Malangnya, mangsa meninggal dunia di RSCM selepas 23 hari menerima rawatan, iaitu pada 12 Ogos 2025, akibat kecederaan serius yang dialaminya,” kata Ganda Sibarani seperti dilaporkan Antara.
Suspek kini berdepan tuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan Indonesia kerana menyebabkan kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sembilan tahun.
Polis turut menjalankan lakonan semula melibatkan 18 babak kejadian, disertai suspek serta beberapa saksi di Balai Polis Kebon Jeruk.
Sumber: Sinar Harian