Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah tampil dengan karya terbaharu berjudul “Akhirnya Kamu”, hasil duet bersama penyanyi dan komposer Daniesh Suffian, yang sebelum ini dikenali menerusi lagu Terabadi dan Pilihlah Aku.
Menurut Bella, lagu ciptaan bersama Daniesh, Azlan Abu Hassan dan Omar K itu amat dekat di hatinya dan menyifatkan proses bekerjasama dengan mereka amat mudah dan berjalan dengan lancar.
Advertisement
“Lagu ini memberi impak besar dalam hidup saya kerana ibarat sebahagian diri saya telah disalurkan melalui lagu ini. Lagu ini adalah tanda penghargaan saya buat peminat yang inginkan saya membawa lagu yang bahagia.
“Hidup tidak selamanya sedih. Sama ada sesuatu itu datang cepat atau lambat, sebab itu kesabaran itu penting. Kebahagiaan akan bermula apabila kita percaya setiap ujian adalah cara untuk jadikan kita lebih kuat.
“Daniesh memahami suara dan cita rasa saya. Kami bekerjasama secara profesional untuk memastikan hasil akhirnya terbaik, dan kami sangat berpuas hati dengan keputusan akhir.
"Kebiasaannya saya nyanyi lagu yang garang, tapi ramai peminat minta lagu yang gembira dan manis. Jadi lagu ini memang saya tujukan untuk mereka.” katanya Ketika ditemui Gempak.
Sementara itu, Daniesh berkongsi bahawa ilham untuk menghasilkan lagu ini hadir daripada sokongan peminat yang mahukan gandingan rasmi mereka berdua selain niatnya untuk menyuntik semangat dan memberi dorongan kepada sahabat baiknya, Bella.
“Sebelum ini kami banyak buat "cover" lagu, jadi ramai yang minta kami keluarkan lagu bersama. Dari situ, idea "Akhirnya Kamu" mula tercetus.
“Tujuan utama penulisan lagu ini adalah untuk memberi semangat, sokongan dan sedikit keceriaan buat Bella agar terus kuat menghadapi segala cabaran.
“Rakaman MV ini sangat menyeronokkan, pelakon tambahan sporting, lokasi cantik, shot pun menjadi, dan tenaga produksi sangat profesional. Semua itu membuatkan hasil akhir melebihi jangkaan saya," ujarnya.
"Akhirnya Kamu" mengisahkan dua individu yang pernah terluka namun kembali menemui cinta sejati selepas pertemuan semula. Lagu ini bukan sekadar tentang cinta, tetapi simbol kekuatan dan harapan dalam perjalanan hidup.
Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform digital, manakala muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia bermula 6 Oktober 2025.