Pelakon Generasi: Perfect 10, Arena Wan mendedahkan dirinya pernah dibuli ketika berusia 14 tahun kerana tidak fasih berbahasa Melayu.
Menurut Arena, atau nama penuhnya Arena Wan Mun-Yi Iman Wan, hidupnya berubah selepas berpindah ke sekolah tersebut.
Advertisement
“Pada ketika itu Bahasa Melayu saya tidak begitu fasih dan saya pula pelajar baharu di sekolah kebangsaan berkenaan.
“Saya berpindah ketika tingkatan dua kerana ibu bapa saya mahu masukkan adik saya ke sekolah keperluan khas sebab dia autastik.
“Semasa hari pertama pindah saya memang kena teruk. Setiap sekolah ada persekitaran yang bebeza. Sekolah lama dahulu banyak bergaul dengan Cina dan India, kalau Melayu pun English speaker.
“Bila masuk sekolah baru semua cakap Melayu. Saya cakap Melayu pun ada slang. Mereka kata saya acah speaking mat salleh,” luahnya.
Arena berkongsi perkara itu ketika ditemui pada program MeleTOP bagi slot drama Astro Originals berjudul Generasi: Perfect 10 pada Selasa.
Dalam masa sama, Arena akui watak yang dibawa dalam GP10 itu sebenarnya sebahagian daripada memori lamanya.
Namun, perbezaannya ialah dirinya tidak sekental watak Ezie.
“Kenangan pahit. Macam mana korang tengok Ezie dalam GP10 yang dia kena buli, macam itu la saya di dunia yang sebenar. Satu perkara yang saya boleh katakan, watak itu sangat sama macam saya waktu sekolah dulu.
“Scene Ezie dalam GP10 saya boleh relate. Cuma beza, Ezie berani lawan, tapi Arena banyak mengalah. Banyak main mental dan bukan fizikal. Sewaktu saya kecil, saya tak faham orang ejek dan perli saya. Saya ingat diorang gurau rupanya diorang sedang sarkastik,” jelasnya.
Pelakon yang popular menerusi sitkom remaja SMK itu berkata dia pernah menerima pelbagai bentuk buli yang mengganggu mentalnya.
“Masukkan ajinamoto dalam air, baju kena gunting tapi saya tak sedih pun sebab saya percaya ia buatkan saya lebih kuat sehingga sekarang,” katanya.
Walaupun pengalaman itu memberikan kesan, Arena memilih untuk melihatnya dari sudut positif kerana percaya ia membentuk dirinya hingga ke hari ini.
“Tak beri kesan pun sampai sekarang sebab setiap berlaku dalam hidup saya buatkan saya tough dan membentuk diri saya sampai sekarang.
“Kepada pembuli sekalian, terima kasih sebab benda tu buatkan saya lebih tough. Dulu saya tak macam ni. Sekarang saya boleh kawal emosi saya. Sebab dulu saya cepat nangis dan sentap. Sekarang banyak self-respect,” ujarnya.
Generasi: Perfect 10 yang iuga merupakan arahan Sling Ng itu dibintangi oleh Arena Wan, Arabella Ellen, Sofia Jane, Ellyza Azizi, Daniel Fong, Sharifah Sakinah, Qi Razali dan Sherie Merlis.
Saksikan Generasi: Perfect 10 secara eksklusif di Astro Ria, Astro Citra, Astro GO dan aplikasi sooka