Selepas kejayaan lagu MWA!, kumpulan sensasi Dolla kembali mencuri perhatian apabila mengumumkan bakal melancarkan single terbaharu tidak lama lagi.
Perkara itu diumumkan ketika mereka membuat persembahan penuh bertenaga di Konsert Hausboom Fest 2025 yang berlangsung di MAEPS Serdang pada Sabtu.
Advertisement
Menariknya, ahli kumpulan Dolla, Sabronzo, sempat memberikan sedikit ‘hint’ kepada para peminat apabila menari beberapa langkah dari lagu baharu itu, mencetuskan sorakan daripada penonton.
“Sab nak tunjuk sikit 'spoiler' dan 'hint' bagi lagu baru kita. Sikit sahaja untuk lagu yang akan keluar,” kata mereka.
Dalam masa sama, Sabronzo tetap mencuri perhatian dengan persembahan yang memukau meskipun telah bergelar isteri kepada DJ Antarabangsa, Dash Berlin.
Sabronzo atau nama penuhnya Wan Sabrina Wan Rusli kelihatan anggun dalam pakaian serba putih sambil menari penuh bertenaga ketika membawakan lagu 'Watch Me Glow' bersama ahli kumpulannya, Tabby dan Angel.
Selain memberi teaser lagu baharu, Dolla turut menghiburkan penonton dengan persembahan lagu 'Classic' dan 'Watch Me Glow' yang menghangatkan lagi suasana malam tersebut.
Konsert dua hari itu turut menampilkan barisan artis terkenal seperti Kunto Aji, Imsoniacks, Spider, Feby Putri, Datuk M. Nasir dan ramai lagi yang menjadikannya antara penganjuran paling meriah tahun ini.
Terdahulu, Sabronzo mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dash Berlin menerusi hantaran di Instagram, selepas pasangan itu selamat diijab kabul dua minggu sebelum majlis resepsi romantis mereka di Bali, Indonesia, pada 25 September 2025.