Pelakon veteran, Eman Manan berkongsi alasan dia bersetuju menyertai filem 3 Hajat adalah disebabkan jalan ceritanya yang menarik, selain memberi ruang untuk menggubal skrip bagi mendapatkan aliran cerita yang lebih mantap.
Menurutnya, filem ini istimewa kerana bukan sahaja mewakili segelintir masyarakat, malah membawa mesej yang lebih menyeluruh.
Advertisement
"Skrip menarik, salah satu tarikan kerana Penulis Skrip, Muzammer Rahman memberi ruang pada kami untuk menambah ‘rencah’ supaya aliran cerita lebih cantik dan menarik. Lebih lagi, permasalahan keluarga ini diletakkan dalam konteks masyarakat.
"Saya melihat isu kasih sayang antara bapa dan anak bukan sahaja mewakili masyarakat Terengganu, tetapi turut memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan," katanya ketika ditemui Gempak.
Eman berkata demikian ketika hadir pada Sidang Media Tayangan Perdana 3 Hajat pada Selasa.
Eman turut tertarik dengan kehadiran Norman sebagai penerbit filem ini, yang diyakini akan menghasilkan karya berkualiti tinggi.
"Saya tertarik kerana dia bercita-cita meletakkan Norman KRU yang setaraf dengan penerbit lain, untuk menghasilkan karya yang hebat," tambahnya.
Sekadar info, Eman Manan membawakan watak Awang, seorang bekas banduan yang menghidap penyakit kronik dan bertekad menunaikan tiga hajat terakhirnya bersama anak tunggalnya, Tawfiq lakonan Amerul Affendi. Namun, perjalanan mereka tidak mudah apabila hubungan ayah dan anak sering dibayangi konflik dan luka masa silam.
Selain dua bintang utama ini, 3 Hajat turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air termasuk Iman Aneesa, Zul Huzaimy, Shah Iskandar, Zalif Sidek dan ramai lagi.
Filem ini bakal menemui penonton di 70 pawagam seluruh negara bermula 2 Oktober.