Sekilas
- Pelakon Erynne Erynna membuat laporan polis selepas mendakwa akaun media sosialnya digodam oleh hacker yang diupah oleh individu dikenali.
- Hacker tersebut dikatakan mengugut Erynne kerana dia enggan memenuhi permintaan yang diberikan, menyebabkan Erynne risau tentang keselamatan keluarga.
- Erynne menasihati pengikutnya supaya berhati-hati jika menerima mesej pelik daripada akaunnya dan tidak melayan sebarang permintaan mencurigakan.
Pelakon, Erynne Erynna tampil membuat laporan polis selepas mendakwa terdapat individu yang mengupah seorang ‘hacker’ untuk menggodam akaun media sosialnya.
Menerusi perkongsian di TikTok miliknya, Erynne berkata individu berkenaan dipercayai telah mengugutnya selepas dia enggan memenuhi permintaan yang diberikan.
“Saya tak akan dedah identiti. Biarlah Allah, keluarga terdekat dan polis sahaja tahu. Ada orang yang saya kenali, upah hacker untuk hack akaun saya yang melanggar privasi saya.
“Hacker itu ugut saya sebab saya tak mahu beri apa yang diminta. Hacker ugut saya supaya berhati-hati. Saya buat laporan polis untuk keselamatan anak dan keluarga saya,” katanya.
Susulan kejadian itu, Erynne berharap perkongsiannya dapat menjadi peringatan awal kepada pengikut agar lebih berhati-hati sekiranya menerima sebarang mesej mencurigakan daripada akaun media sosialnya.
“Saya beritahu siap-siap jika hacker itu berjaya dan saya tak tahu apa yang akan berlaku nanti. Kalau kalian ada terima mesej pelik daripada akaun media sosial saya, itu maksudnya korang dah faham yang kemungkinan akaun saya telah berjaya di-hack. Jangan layan. Mana tahu dia minta duit dan buat benda-benda pelik.
“Jadi, itulah tujuan saya buat video ini sebab saya sayang pengikut saya yang selalu mendoakan yang baik-baik untuk keluarga saya. Saya mendoakan agar kita sentiasa dilindungi Allah dan diredai dunia akhirat. Kita tak buat orang, insya-Allah Allah akan bantu kita,” ujarnya.