Sekilas
- Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, memperkenalkan konsep Fandom 360 sebagai pendekatan baru untuk jenama mendekati audiens dengan lebih dekat dan melibatkan mereka secara aktif.
- Henry menegaskan pentingnya memenangi emosi pengguna dan bukan hanya bergantung pada angka dan data dalam perancangan media untuk menjadikan jenama lebih melekat di hati pengguna.
- Beliau mengajak pengamal media supaya berani keluar dari kebiasaan, menjadi luar biasa dengan kreativiti dan idea yang berbeza bagi membezakan diri dalam industri yang kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan memperkenalkan konsep Fandom 360 sebagai pendekatan baharu untuk jenama mendekati audiens dengan lebih dekat.
Menurut Henry, fandom bukan sekadar kumpulan pengguna yang berkongsi minat, tetapi mereka yang mempunyai keterujaan dan semangat yang kuat terhadap sesuatu perkara atau jenama.
“Fandom ialah satu keunikan yang membezakan. Ia bukan sahaja membezakan Astro, tetapi turut membezakan anda. Kerana anda bukan sekadar membeli audiens. Anda membeli sekumpulan individu yang mempunyai minat yang sama serta tahap keterujaan dan fanatik tertentu.
“Fandom ialah situasi di mana kumpulan sasaran bukan lagi sekadar kumpulan sasaran. Anda menjadikan mereka peserta bersama anda, dengan minat yang sama dengan jenama anda, dan anda menerima maklum balas sepanjang proses tersebut. Penyertaan itulah yang menjadikan fandom satu realiti,” katanya ketika program MSA Mediavolution 2026 di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada Jumaat.
Dalam masa sama, Henry menyeru agar pengamal media tidak terlalu bergantung kepada angka dan data semata-mata, sebaliknya memberi perhatian kepada emosi serta hubungan dengan pengguna.
Katanya lagi, angka sememangnya penting dalam perancangan media, namun sesuatu jenama tidak akan mudah diingati jika hanya bergantung kepada data untuk menarik perhatian pengguna.
“Semua orang begitu obses dengan pengukuran. Tetapi bukankah fokus utama setiap jenama bukan sekadar mendapatkan angka, tetapi benar-benar melekatkan jenama tersebut dalam hati dan fikiran pengguna? Anda tidak boleh melakukannya hanya dengan angka. Anda perlu memenangi emosi mereka,”ujarnya.
Henry menyifatkan angka dan data sebagai ‘lautan kelabu’ kerana semua pihak melakukan perkara yang sama lebih-lebih lagi dengan penggunaan teknologi dan sistem digital yang semakin berkembang.
“Warna menyerlah dalam lautan kelabu. Angka ialah lautan kelabu. Terlalu banyak data dan angka untuk menarik perhatian serta memberikan justifikasi.
“Jadi, bagaimana anda mahu menjadi luar biasa jika anda melakukan perkara biasa? Bagaimana anda mahu menjadi profesional media yang cemerlang jika anda hanya melakukan perkara biasa?” katanya.
Henry turut mengingatkan pengamal media supaya berani keluar daripada pendekatan biasa dan tidak sekadar mengikut apa yang dilakukan oleh pesaing.
“Apakah perbezaan antara ‘ordinary’ dan ‘extraordinary’? Tepat sekali. Ia sangat mudah, bukan? Hanya satu perkataan, iaitu ‘extra’. Hidup ini memang tidak adil. Segala ketidakadilan dan kesukaran itu wujud untuk menjadikan anda lebih kuat. Anda boleh melihat masalah dan cabaran sebagai satu batu loncatan atau batu nisan. Pilihan itu terletak pada anda.
“Pergi melangkaui angka. Jangan menjadi perancang media biasa, jadilah perancang yang luar biasa. Jangan menjadi ‘me-too’, jadilah berbeza.
“Anda boleh bermimpi lebih besar. Anda boleh bercakap tentang idea, kreativiti, pemasaran, pandangan pengguna dan pelbagai perkara lain.Itulah cara anda membezakan diri dan menjadi luar biasa,” ujarnya.