Siapa sahaja yang tidak mengenali kehebatan dua pelakon tersohor tanah air, Eman Manan dan Amerul Affendi, yang sentiasa berjaya menawan hati penonton setiap kali muncul di layar perak mahupun kaca televisyen.
Kali ini, KRU Studios dengan kerjasama Astro Shaw mempertemukan dua figura hebat ini menerusi sebuah karya terbaharu berjudul 3 Hajat, sebuah filem sarat dengan emosi serta ikatan kekeluargaan yang menyentuh hati.
Advertisement
Gandingan mantap Eman dan Amerul dijangka mampu membuat penonton menitiskan air mata, sekali gus meninggalkan kesan yang mendalam selepas menontonnya.
Sekadar info, Eman Manan membawakan watak Awang, seorang bekas banduan yang menghidap penyakit kronik dan bertekad menunaikan tiga hajat terakhir hidupnya bersama anak tunggalnya, Tawfiq lakonan Amerul Affendi. Namun, perjalanan mereka tidak mudah apabila hubungan ayah dan anak itu sering dibayangi konflik serta luka masa silam.
Selain dua bintang utama ini, 3 Hajat turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air antaranya Iman Aneesa, Zul Huzaimy, Shah Iskandar, Zalif Sidek dan ramai lagi.
Filem ini bakal menemui penonton di 70 pawagam seluruh negara bermula 2 Oktober.