Skip to main content

Berita Tempatan

"Generasi Muda Kita Tak Kurang Bakat, Cuma ..." - Asyraf Khalid

asyraf_khalid

Usahawan dan personaliti, Muhammad Asyraf Khalid, kini menggalas tanggungjawab baharu sebagai Ahli Lembaga Pengarah Madani Research Centre (MRC) dengan misi membimbing 500 pemimpin muda Malaysia melalui inisiatif Madani Future Leaders 500.

Program berimpak nasional ini akan menghimpunkan 500 pelajar terbaik seluruh negara untuk mengikuti siri bimbingan eksklusif bersama tokoh korporat, usahawan dan pemimpin industri, bertujuan melahirkan generasi pemimpin masa depan yang berwawasan, berilmu dan berjiwa negara.

Advertisement

Menurut Asyraf, potensi anak muda masa kini amat besar dan wajar diberi ruang serta tunjuk ajar yang betul.

“Saya percaya setiap perubahan besar bermula dengan peluang. Generasi muda kita tidak kurang bakat, cuma mereka perlu dibimbing dengan nilai dan hala tuju yang betul,” katanya selepas pelantikannya diumumkan baru-baru ini.

Melalui Madani Future Leaders 500, peserta akan didedahkan kepada pengalaman dunia sebenar, termasuk latihan kepimpinan, komunikasi strategik dan pemikiran kritikal.

“Saya mahu melihat generasi baharu yang bukan sekadar cerdas, tetapi juga berjiwa besar, empati terhadap masyarakat dan sedar tanggungjawab mereka dalam membina negara,” tambahnya.

Pelantikan Asyraf diumumkan oleh Pengerusi MRC, Dr. Madhi Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Azmi Mat Nayan, yang turut menegaskan peranan penting beliau dalam bahagian Penjenamaan dan Penglibatan Awam.

Selain memperkasa kepimpinan belia, Asyraf turut menzahirkan komitmen memperjuangkan hak serta penerimaan kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk penghidap autisme dan ADHD, melalui Inisiatif Madani untuk Kanak-Kanak Keperluan Khas di bawah MRC.

“Kanak-kanak istimewa berhak mendapat peluang sama rata. Masyarakat Madani sejati ialah masyarakat yang menyantuni semua golongan tanpa kecuali. Anak-anak istimewa harus diraikan sebagai sebahagian daripada kekuatan dan warna kemanusiaan negara,” ujarnya.

Usaha itu akan menumpukan kepada peningkatan kesedaran awam, penambahbaikan dasar kerajaan serta pengukuhan sokongan komuniti agar kanak-kanak berkeperluan khas lebih diterima dalam sistem pendidikan, pekerjaan dan kehidupan seharian.

“Kita perlu ubah cara masyarakat melihat mereka. Setiap anak ada potensi untuk membina masa depan, tidak kira siapa mereka,” katanya lagi.

Madani Research Centre (MRC) ialah sebuah badan penyelidikan dan dasar yang menyokong pelaksanaan gagasan Malaysia Madani, dengan tumpuan terhadap penyelidikan dasar pembangunan masyarakat dan pengukuhan komunikasi nilai nasional.

Must-Watch Video

Advertisement