Baru dua hari ditayangkan, drama Astro Originals arahan Sling Ng, iaitu Generasi: Perfect 10 berjaya menduduki carta Top 10 di platform Astro OnDemands.
Teraju utama, Arena Wan menzahirkan rasa syukur apabila segala penat lelah menjayakan siri tersebut membuahkan hasil.
Advertisement
"Alhamdulillah, sangat terkejut dan bersyukur. Pengalaman paling menarik ialah ketika kami membuat persediaan sebelum hari shooting sebab dari situ kami dapat chemistry.
“Sebelum kita shoot, saya memang tak yakin saya boleh bawa watak ini sebab saya tidak fleksibel seperti ahli gimnastik. Dari situ saya belajar macam mana nak jadi ahli gimnastik dan dapat merasai sendiri latihan mereka.
"Kami juga ada kelas lakonan bersama kak Sofea Jane yang bukan sahaja berlakon dalam drama tetapi turut mengajar kami. Dia membentuk keyakinan dan keserasian kami.
"Hari terakhir persediaan, kami semua menangis sebab bangga dengan setiap orang dari hingga ke penghujung. Bermula dari tiada pengetahuan tiba tiba sudah hari terakhir. Akhirnya kami berjaya juga,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Arabella yang memegang watak Victoria Zahra turut mengakui semangat kerjasama dalam kalangan pelakon menjadikan drama ini begitu istimewa di hatinya.
"Sangat teruja dan gembira untuk saya dan ahli kumpulan lain sebab kami telah curahkan segalanya demi menjayakan drama ini. Hari yang saya paling ingat adalah hari yang saya shoot dengan pelakon. Kami shoot ketika bulan puasa.
“Waktu itu kami memang balik rumah sama-sama. Boleh nampak kami semua sangat memberi yang terbaik untuk Ganerasi: Perfect 10 walupun masing-masing sangat kepenatan. Walaupun saya tak pernah jumpa setengah dari mereka tetapi kami sangat sejiwa dan ‘masuk air’,” ujarnya.
Arena dan Arabella berkongsi perkara itu ketika ditemui pada program MeleTOP bagi slot drama Astro Originals berjudul Generasi: Perfect 10 pada Selasa.
Generasi: Perfect 10 itu dibintangi oleh Arena Wan, Arabella Ellen, Sofia Jane, Ellyza Azizi, Daniel Fong, Sharifah Sakinah, Qi Razali dan Sherie Merlis.
Saksikan Generasi: Perfect 10 secara eksklusif di Astro Ria, Astro Citra, Astro GO dan aplikasi sooka