Di sebalik 23 sukarelawan dan aktivis yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dalam usaha menyampaikan mesej keamanan bersama bantuan makanan dan ubat-ubatkan buat saudara kita di Gaza, Palestin, ada satu nama yang cukup ‘hangat’ dibicarakan oleh warganet.
Beliau adalah Haji Zainal Rashid Ahmad atau lebih sinonim dengan panggilan ZRA. Dalam kalangan pengikut beliau di media sosial, Haji Zainal cukup terkenal dengan hujah tajam dan konten sahih yang dikongsikan dalam ZRA Strim sejak beberapa tahun lalu.
Advertisement
Sebaik menyertai GSF bersama anak perempuannya, Nur Ilham Fansuri, nama ZRA semakin menjadi bualan kerana informasi-informasi terutama sejarah dan mengajak masyarakat berfikiran kritis yang disampaikan lewat ‘live’ sewaktu membelah samudera bersama aktivitis lain dalam misi sama.
Namun pada saat kesateria negara disambut meriah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, ZRA memilih untuk tidak diraikan.
Dalam diam, sekitar pukul 12.30 tengah malam, lelaki berusia 58 tahun itu telah selamat pulang ke kediamannya tanpa ‘huru-hara’.
Menerusi perkongsian rakan wartawan Syaril Abdul Kadir atau SAK di Facebook, ZRA tersenyum dalam penampilan biasanya meski terlihat lebih kurus berbanding sebelum misi GSF beberapa bulan lepas.
“MANA KELIBAT ZRA?
Di saat keriuhan sambutan dan laungan keperwiraan di KLIA tadi, saudara kami Tn Hj Zainal Rashid Ahmad pulang secara senyap-senyap ke rumahnya dengan dibantu saudara Syirfan Indra dan geng-geng dia,” tulis Syaril.
Menurutnya, mereka berlinangan air mata saat memeluk ZRA.
“Turut hadir adalah antara tulang belakang ZRA Strim, saudara Nua.
“Tubuh Zainal makin kurus, riak keletihan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata Tapi itulah ZRA.
“Dia telah laksanakan apa yang dia percaya dan perjuangkan selama ini. Dia serahkan semuanya pada Allah yang maha Esa. Dia ingin kembali sebagai insan biasa seperti mana hari-hari sebelumnya,” tulisnya lagi.
Pada akhir tulis, mantan wartawan yang cukup terkenal dengan ‘dunia jenayah’ itu meninggalkan pesanan.
“Jangan buang masa memuji dan menyanjung dirinya. Dia tidak mahu semua itu. Dan itu bukan dia!,”tulisnya pada coretan pukul 12.53 pagi.