Sekilas
- Seorang pekerja pomen motosikal membantu lelaki yang motosikalnya rosak tengah malam tanpa mengenakan bayaran kerana memahami kesusahan lelaki tersebut.
- Lelaki itu hanya ada wang cukup untuk keperluan asas dan terpaksa meminjam dari rakan, menyebabkan pekerja pomen itu menggunakan duit infaq untuk membayar kos pembaikan.
- Perkongsian kisah ini mendapat perhatian ramai yang memuji sikap prihatin dan semangat tolong-menolong dalam menghadapi dugaan hidup.
"Dalam hati aku mungkin dia betul-betul memerlukan. Aku pakai duit infaq untuk dia. Aku percaya setiap manusia ada dugaan dan cerita dia sendiri. Semoga abang ini kuat dan bersemangat,"
Demikian kata oleh seorang individu yang dikenali dengan akaun Minyak Hitam Jalanan yang membantu seorang lelaki yang kerosakan motornya pada tengah malam.
Kisahnya bermula apabila seorang individu yang dipercayai seorang pekerja 'pomen' menerima mesej daripada seorang lelaki berbangsa cina sekitar jam 1 pagi selepas memaklumkan motosikalnya mengalami kerosakan pada bahagian rantai.
Namun apa yang menyentuh hati ramai apabila melihat situasi lelaki cina itu yang dilihat seperti berada dalam kesempitan wang.
Tersentuh dengan situasi itu, pekerja berkenaan memilih untuk tidak mengenakan sebarang bayaran, sekali gus membuatkan lelaki tersebut tidak dapat menahan sebak.
"Harga dia RM145. Abang pun ada RM176, boleh bayar ke? Ada duit makan tak? Tak perlu bayarlah bang. Saya tahu abang susah dan saya anggap ini rezeki awak. Hari ini saya tolong awak, esok Allah pula tolong saya,"ujarnya.
Ketika ditanya mengenai keadaannya, lelaki itu memaklumkan dia terpaksa meminjam wang daripada rakan, dan jumlah yang ada hanya cukup-cukup untuk keperluan dirinya.
Suasana menjadi lebih mengharukan apabila mereka saling berpelukan dan pekerja tersebut menitipkan kata-kata semangat buat lelaki itu agar terus tabah menghadapi liku-liku kehidupan.
"Tidak mengapa awak balik sahaja. Buat jadi duit belanja sahaja. Hati-hati ya. Banyak doa dan bersabar. Sama juga seperti saya, kalau ada salah dan dugaan kita pelu sentiasa ingat tuhan,"pesannya.
Perkongsian tersebut menjadi perhatian ramai dengan rata-rata turut simpati melihat keadaan lelaki berbangsa cina itu dan memuji sifat baik pekerja pomen itu.