Penyampai radio ERA FM, Fazziq Muqris akui berasa teruja untuk menyambut hari raya bersama isterinya, Sharifah Areeqa.
Menurut Fazziq, dia tidak sabar untuk menangkap gambar raya berdua bersama kerana itu merupakan hasratnya yang telah lama dipendam.
"Ini tahun pertama saya akan beraya berdua dengan isteri. Alhamdulillah, ibu bapa kami pula tidak duduk jauh, semuanya di Selangor. Jadi mungkin kami akan bergilir-gilir beraya, atau datang pada hari yang sama supaya tidak bergaduh.
"Saya paling tak sabar nak tunggu momen bergambar dengan isteri pada pagi raya. Dulu saya selalu tengok kawan-kawan bergambar dengan pasangan mereka, jadi sekarang bila tiba giliran sendiri, saya rasa sangat seronok," katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Fazziq turut menantikan rendang tok masakan isterinya meskipun Sharifah kurang arif dengan masakan Melayu.
"Saya tak minta lebih, cuma teringin nak rasa isteri saya masak rendang tok. Selama ini dia tak pernah buat lagi. Sebelum ini saya pernah rasa pelbagai jenis rendang seperti rendang daging, dendeng dan rendang tok.
"Biasanya selepas solat raya, kami akan makan bersama. Jadi kali ini saya teringin juga nak merasa air tangan isteri sendiri. Isteri saya memang pandai memasak, apa sahaja yang dia masak semuanya sedap. Cuma mungkin dia perlukan sedikit masa untuk masakan Melayu kerana dia lebih biasa dengan masakan Barat dan Timur Tengah. Setakat ini pun dia belum pernah masak rendang," ujarnya.
Ditanya mengenai persiapan raya, Fazziq berkongsi bahawa dia lebih gemar membeli persiapan raya di saat akhir bagi mengelakkan kesesakan.
"Isteri saya selalu tanya bila nak pergi beli baju raya, tetapi jadual kerja saya agak padat. Mungkin nanti saya akan cari masa yang sesuai. Saya pula jenis yang lebih suka beli baju raya pada saat akhir, mungkin sehari sebelum raya. Saya tahu kalau beli awal biasanya terlalu ramai orang, jadi saya lebih selesa beli di hujung-hujung.
"Isteri saya pun bukan jenis yang cerewet atau mahu yang terlalu mahal. Dia tahu apa yang dia nak dan apa yang sesuai dengan dirinya. Bagi dia, tak kisah berapa harga baju itu, asalkan nampak cantik di mata dia dan saya. Taklah sampai beribu ringgit. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat isteri seperti dia," kongsinya.
Terdahulu, Fazziq selamat bergelar suami kepada pempengaruh media sosial, Sharifah pada hujung November lalu dengan sekali lafaz.