Skip to main content

Berita

Himpun Karya Lebih 40 Artis Asia Tenggara, Muara Arts Gallery Bakal Dibuka Ahad Ini!

Himpun Karya Lebih 40 Artis Asia Tenggara, Muara Arts Gallery Bakal Dibuka Ahad Ini!

Sekilas

  • Muara Arts, galeri seni baharu di Medan Pasar, Kuala Lumpur, akan dibuka pada 1 November 2026 dengan pameran sulung menampilkan karya lebih 40 artis dari Asia Tenggara.
  • Pameran A–Z of Southeast Asian Art: A Critical Dictionary berlangsung hingga 4 April 2027, memaparkan pelbagai medium seni yang mengangkat sejarah, budaya dan perspektif rantau ini.
  • Chris Lee dilantik sebagai CEO Muara Arts dan Medan Pasar Realty mulai 16 Disember 2026, dengan misi menghidupkan semula Medan Pasar sebagai destinasi seni dan budaya utama di Kuala Lumpur.
Advertisement

Sebuah galeri seni baharu, Muara Arts bakal dibuka kepada orang ramai bermula 1 November ini, sekali gus menawarkan ruang buat pengunjung meneroka kepelbagaian karya seni dari rantau Asia Tenggara.

Terletak di kawasan bersejarah Medan Pasar, Kuala Lumpur, galeri seni itu bakal menampilkan karya lebih 40 artis dari seluruh Asia Tenggara menerusi pameran sulung berjudul A–Z of Southeast Asian Art: A Critical Dictionary.

Advertisement

Pameran yang berlangsung dari 1 November 2026 hingga 4 April 2027 itu menghimpunkan pelbagai karya bagi mengetengahkan sejarah, budaya dan perspektif yang membentuk rantau ini.

Dikendalikan oleh kurator Lydia Yee dan Zhen Feng Ang, pameran tersebut diinspirasikan daripada projek berterusan artis terkenal Singapura, Ho Tzu Nyen, berjudul The Critical Dictionary of Southeast Asia yang dimulakan pada 2017.

Menerusi susunan mengikut abjad dari A hingga Z, pengunjung berpeluang meneroka sejarah, identiti, budaya dan politik Asia Tenggara yang saling berkait, selain melihat rantau ini daripada perspektif berbeza.

Advertisement

Antara karya yang dipamerkan termasuk instalasi media campuran Zarina Muhammad menerusi tema Animism, instalasi video Martha Atienza berjudul Our Islands, 11°16’58.4 N 123°45’07.0 E di bawah tema Archipelago, serta karya Nadiah Bamadhaj dan Marcos Kueh menerusi tema Buffalo.

Pameran itu turut menampilkan karya arca baharu oleh Pio Abad dan Frances Wadsworth Jones di bawah tema Corruption, selain karya Paul Pfeiffer berjudul Live Evil (Kuala Lumpur) menerusi tema Zoomorphism.

Menggabungkan pelbagai medium seni termasuk lukisan, arca, tekstil, instalasi, video dan karya atas kertas, pameran tersebut turut membuka ruang kepada orang ramai untuk mengenali seni Asia Tenggara dengan lebih dekat.

Dalam perkembangan sama, Medan Pasar Realty dan Muara Arts mengumumkan pelantikan Chris Lee sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi kedua-dua organisasi berkenaan, berkuat kuasa 16 Disember 2026.

Chris yang kini merupakan Penolong Ketua Pegawai Eksekutif di National Gallery Singapore mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perniagaan dan seni, termasuk sedekad memegang jawatan kepimpinan kanan di galeri berkenaan.

Beliau bakal bertanggungjawab menerajui pembangunan strategik, operasi dan kelestarian jangka panjang kedua-dua organisasi, termasuk usaha menjadikan Medan Pasar sebagai destinasi seni, budaya dan industri kreatif dengan Muara Arts Gallery serta Muara Arts Theatre yang bakal dibangunkan.

Menurut Chris, Medan Pasar mempunyai nilai sentimental buat dirinya kerana banyak kenangan zaman kanak-kanaknya tercipta di kawasan bersejarah itu.

“Ketika membesar di Kuala Lumpur, Medan Pasar merupakan nadi bandar ini bagi saya. Antara kenangan zaman kanak-kanak yang paling saya hargai ialah membeli-belah di pasar bersama ibu dan menikmati makan tengah hari pada hari Jumaat di Sin Seng Nam bersama bapa,” katanya.

Chris turut menyifatkan peluang menyertai usaha menghidupkan semula Medan Pasar sebagai satu kepulangan yang cukup bermakna, selain berharap dapat membantu membina legasi budaya yang berkekalan untuk Kuala Lumpur.

Sementara itu, pengasas Muara Arts dan Medan Pasar Realty, Shanthi Kandiah dan Brahmal Vasudevan, berkata pembukaan institusi seni itu merupakan pencapaian penting dalam merealisasikan visi mereka untuk menghidupkan semula Medan Pasar.

Menurut mereka, pengalaman Chris dalam membangunkan khalayak, menjadikan seni lebih mudah diakses dan membina institusi budaya yang mampan akan membantu menjadikan Muara Arts sebagai platform penting untuk seni Malaysia dan Asia Tenggara.

Mereka turut berharap Medan Pasar dapat berkembang menjadi destinasi budaya yang meriah, sekali gus menyatukan seni, warisan dan komuniti di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Anda mungkin berminat dengan

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

Must Watch Video

Advertisement