Usahawan dan pempengaruh media sosial, Siti Jamumall meluahkan rasa bangga terhadap bekas suaminya, Khairul Aiman yang tetap berada di sisinya sepanjang proses kehamilan dan bersalin meskipun berdepan dengan kecaman netizen.
Menerusi perkongsian di TikTok, Siti bersyukur kerana bekas suaminya hadir ketika dia melalui fasa paling kritikal dalam hidup apabila akaun bank miliknya dibekukan.
Advertisement
“I minta maaf atas semua yang jadi hari ini, you kena kecam teruk tapi I bangga dengan you sebab you tetap ada. Duit I dibekukan, memang tiada apa tetapi Allah dah tunjukkan you sangat bertanggungjawab, you cari duit untuk selesaikan keperluan bersalin,” tulisnya.
Siti turut berterima kasih kerana Aiman menemaninya dari saat melahirkan sehingga ke tempoh berpantang.
“Terima kasih sebab teman I berjuang melahirkan anak kita dari proses bersalin sehingga ke tempoh berpantang," katanya lagi.
Bagaimanapun, Siti mengakui hatinya berat menerima keputusan mahkamah yang menolak permintaannya untuk jatuh talak dua sahaja.
“Sejujurnya I berharap untuk jatuh talak 2 sahaja. Tapi apa boleh buat keputusan mahkamah dah keluar hari ini. Kita memang tak boleh kembali bersama. I tak kuat nak hadap bila you dihina dan dikecam sebab masih banyak kebaikan yang ada pada you,” jelasnya lagi
Tambahnya lagi, walaupun anak mereka baru berusia 10 hari, harapannya untuk kembali bersama demi zuriat tidak kesampaian.
“Anak baru 10 hari, hari ini dia ikut sama-sama pergi mahkamah, harapan mummy boleh la kembali bersama abiy demi ratna tapi apakah daya takdir Allah telah menentukan segalanya,” tambahnya
Keputusan itu jelas memberi kesan besar dalam hidup Siti yang kini memerlukan ruang untuk sembuh daripada luka perpisahan.
Terdahulu, pasangan ini berpisah buat kali kedua apabila Aiman melafazkan cerai sebanyak tiga kali menerusi siaran langsung di TikTok sebelum ia dihentikan secara mengejut.
Dalam perkembangan lain, Siti Jamumall selamat melahirkan bayi mereka pada 12 September lalu.