Ringkasan AI
- Alice Kasimova, wanita Rusia yang tular dalam video siaran langsung di restoran, telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
- Alice bertindak selepas mendapat nasihat rakan dan orang sekeliling yang bimbang tentang keselamatannya.
- Dia menegaskan bahawa perbuatan lelaki dalam video itu bukan humor dan berharap lelaki melindungi wanita, bukan sebaliknya.
- Pihak polis telah menghubungi Alice untuk mengambil kenyataan, namun dia sedang bercuti di Bali dan akan ke balai polis selepas pulang.
- Alice mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan solidariti yang diterimanya selepas insiden tular itu.
Wanita warga Rusia yang tular dalam rakaman video siaran langsung seorang pempengaruh lelaki di sebuah restoran, akhirnya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Wanita yang dikenali sebagai Alice Kasimova itu memaklumkan perkara tersebut menerusi satu hantaran di akaun Threads miliknya.
Menurut Alice, dia membuat laporan itu selepas mendapat nasihat daripada rakan dan orang sekeliling yang bimbang terhadap keselamatan dirinya.
“Semua orang menyuruh saya pergi ke balai polis dan saya telah melakukannya. Saya bukan bertindak kerana marah, tetapi kerana berdiam diri hanya akan melindungi mereka yang menyakiti orang lain.
“Sedih melihat seorang lelaki bercakap begitu tentang wanita, apatah lagi di depan pasangannya. Itu bukan humor, dan itu bukan kekuatan,” tambahnya.

Dalam hantaran yang sama, Alice berkata tiada wanita seharusnya berasa takut untuk tampil mempertahankan diri.
Malah dia juga berkata hukuman sebenar bagi pihak yang terlibat bukanlah penjara sebaliknya rasa malu atas perbuatan sendiri.
“Penjara mungkin terlalu berat, kerana dia sudah menerima hukuman sebenar iaitu rasa malu. Menyedihkan apabila melihat seorang lelaki bercakap begitu terhadap wanita, lebih-lebih lagi di hadapan pasangannya.
“Itu bukan humor, dan itu bukan kekuatan. Saya ingin hidup dalam dunia di mana lelaki melindungi wanita, bukan sebaliknya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Alice juga memaklumkan pihak polis telah menghubunginya untuk mengambil kenyataan, namun pada ketika itu dia berada di lapangan terbang bagi meneruskan percutian yang telah dirancang ke Bali.
“Sebaik saya kembali ke Kuala Lumpur, saya akan ke balai polis. Saya juga ingin tahu ke mana arah siasatan ini akan dibawa,” maklumya.
Alice juga turut tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menunjukkan sokongan dan memberikan semangat kepadanya selepas insiden itu tular.
“Malaysia negara yang indah dengan rakyat yang mesra dan penuh rasa hormat. Saya amat bersyukur atas semua mesej dan sokongan yang diterimaz
“Saya rasa amat disayangi di sini, bersyukur dengan semua mesej dan solidariti yang saya terima. Terima kasih semua” coretnya.
Terdahulu, Alice menjadi tular selepas dilihat dalam siaran langsung seorang lelaki dan usahawan yang dikenali dalam kalangan komuniti Kelantan.
Lelaki itu telah mengeluarkan kata-kata lucah ketika melakukan sesi siaran langsung mengenai seorang wanita yang duduk di meja bersebelahan sehingga mengundang kemarahan orang ramai.
Malah dalam rakaman berdurasi kurang satu minit itu, lelaki terbabit dilihat sedang makan bersama seorang wanita dipercayai isterinya.