Skip to main content

Berita

Inspiring Story! Ulang SPM 10 kali, STPM Dua Kali, OKU 'Slow Learner' & Mangsa Buli Kini Bergelar Guru

OKU GURU

Sekilas

  • Seorang pemuda OKU bernama Ed berjaya menjadi guru pada usia 37 tahun selepas melalui pelbagai cabaran pembelajaran dan peperiksaan SPM sebanyak 10 kali.
  • Ed menghadapi masalah perkembangan sejak kecil, pernah dibuli dan digelar 'lambat' belajar, namun terus berusaha dengan sokongan keluarga terutama ibu dan adiknya.
  • Kisah inspirasi Ed mendapat pujian ramai di media sosial sebagai motivasi untuk mereka yang menghadapi kesukaran mencapai cita-cita.

Tiada istilah kegagalan dalam hidup selagi kita tidak berputus asa; yang ada hanyalah kejayaan yang tertunda. Ungkapan ini paling sesuai menceritakan tentang pemuda orang kelainan upaya (OKU) yang akhirnya mencapai cita-cita sebagai guru pada usia 37 tahun.

Diceritakan sendiri oleh adiknya, Dr Che Ainun Nasihah Ismail berkongsi pencapaian luar biasa abangnya yang dikenali sebagai Ed.

"Abang dilahirkan songsang dan proses kelahiran yang sukar menyebabkan dia mengalami masalah perkembangan sejak kecil.

"Slow learner kata mereka, gagap teruk, selalu hilang dalam dunianya sendiri, dibuli secara fizikal dan mental di sekolah walaupun ayah kami seorang guru di sekolah itu," kongsinya di Instagram.

Susulan masalah dihadapi, abangnya melalui  perjalanan akademik yang cukup mencabar. Ed difahamkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 10 kali dan pernah hampir berputus asa.

"Ketika peperiksaan SPM kali pertama pada tahun 2005, tiga subjek gagal.

"Dia kemudian belajar sendiri. Ibu kami terus memberi sokongan.

"Tujuh kali kali full SPM,  tiga kali hanya repeat paper Julai, akhirnya keputusan bagi Bahasa Melayu B manakala subjek Sains pula A," tuturnya di sebuah stesen radio.

Usai tamat SPM, ED meneruskan pengajian Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Sepanjang tempoh itu, pemuda itu bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di hospital, sekolah, rumah orang tua dan membantu bapanya mengerjakan bendang.

Kejayaan tidak terhenti di situ, Ed kemudian mengambil Ijazah Sarjana Muda Sastera diikuti Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI).

Kini, lelaki yang pernah menjadi mangsa buli,  digelar 'lambat' belajar, sah bergelar seorang guru.

Tiga tahun lagi genap 40 tahun, segalanya masih belum terlambat buat Ed memulakan hidup baharu dengan gelaran pendidik.

"Dia tetap dia, abang yang aku kenal sejak kami kecil. Masih seperti dia, tetapi mencipta sejarah melalui ketabahan dari hidupnya sendiri.

"Semua yang terbaik untuk bab baru ini, usaha kamu di tempat baharu, kami akan sentiasa ada untuknya, sepanjang masa, selagi dia melaluinya sendiri," ujarnya.

Kisah diceritakan Dr Ainun menerima pelbagai pujian daripada warga maya. Rata-rata menzahirkan rasa bersemangat dan memberi inspirasi untuk menggapai cita-cita.

"Terharu baca ni. Sama umur dengan saya. Saya doakan abangmu terus berjaya.True story begini memang inspiring.

"Inspiring story, semoga anak saya pun boleh berjaya macam abang doktor. Dia juga OKU pembelajaran.

"Satu kisah yang benar-benar memberi motivasi. Saya yakin abang kamu akan menjadi seorang guru yang cemerlang pada masa hadapan," komen mereka.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement