Sekilas
- Noraniza Idris memuji penyanyi seperti Wani Kayrie yang berjaya mengembalikan irama Malaysia dengan komposer dan genre tersendiri.
- Beliau menegaskan pentingnya kehadiran lebih ramai pengkarya dalam industri muzik untuk mengembangkan irama tradisional.
- Noraniza juga menyokong usaha Mimi Fly yang menggabungkan elemen budaya dalam muziknya sebagai cara baru menyebarkan irama Malaysia.
Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris berkongsi pandangan mengenai penyanyi masa kini yang dilihat sudah mula mengembalikan irama Malaysia.
Menurut Noraniza, dia memuji penyanyi seperti Wani Kayrie yang mempunyai komposer dan genre tersendiri.
Menurutnya, usaha tersebut perlu diberikan pujian kerana sebelum ini, dunia seni kekurangan pengkarya.
“Dulu kita ada satu komposer tetapi menyampaikan pada 50 orang. Dia jadi satu jiwa yang menguncup dan tak meluas.
“Kita tidak ada komposer yang ramai. Kalau kita tengok sekarang, macam Wani Kayrie dia ada komposer sendiri , genre dia ke arah lagu rakyat. Dia berbeza. Kalau dengar, dia dah pelbagai,”katanya kepada Gempak.
Bukan itu sahaja, dia turut menjadikan penyanyi, Mimi Fly sebagai contoh dalam mengembangkan irama Malaysia namun dengan caranya tersendiri.
Malah, dia sebagai penyanyi senior amat menggalakkan perkara tersebut dan sentiasa menyokong segala usaha yang melibatkan irama Malaysia.
“Bila ada artis sekarang buat cara ini. Misalnya, Mimifly. Walaupun dia tak buat irama malaysia, dia masih ada elemen budaya.
“Jadi, dia dah buka ruang sebelah kaki untuk irama malaysia dan disebarkan dengan cara dia. Saya sokong apa sahaja cara untuk luaskan irama itu,”ujarnya.