Skip to main content

Selebriti

Isu Royalti Lagu Sinaran Selesai Cara Baik, Rossa Dedah Nora & Komposer Rupanya Kenalan Lama - "Isu Ini Membuka Mata Saya Kerana..."

rossa royalti

Sekilas

  • Datuk Seri Rossa telah menyelesaikan isu royalti lagu Sinaran dengan Datuk Nora Ariffin secara baik selepas berbincang dan membuat pembayaran royalti.
  • Rossa terkejut mengetahui dia mengenali Nora dan komposer lagu tersebut, Johan, yang merupakan kenalan lamanya.
  • Isu ini membuka mata Rossa tentang masalah royalti dan sistem distribusi dalam industri muzik Indonesia yang serupa.

Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa menjelaskan bahawa isu royalti lagu Sinaran yang dibawakan semula olehnya telah diselesaikan secara baik bersama penyanyi Datuk Nora Ariffin. 

Menurut Rossa, dia tidak menyangka bahawa dirinya sebenarnya mengenali Nora serta komposer lagu berkenaan yang turut merupakan kenalan lamanya.

"Saya sendiri terkejut apabila mengetahui isu ini. Kami memang sudah membuat bayaran royalti dan tiada sebarang masalah dari pihak kami.Namun, saya anggap perkara ini ada hikmah kerana saya sebenarnya memang mengenali Kak Nora. Saya baru tahu rupanya komposer lagu tersebut merupakan kenalan lama saya iaitu Johan," katanya kepada Gempak.

Rossa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran mini album 'Asmara Dansa' di The Five, Kuala Lumpur pada Rabu.

Pelantun lagu Pudar itu turut meluahkan rasa syukur kerana perkara itu telah selesai, selain memahami kerisauan Nora selaku waris karya tersebut.

"Kami telah berbual dan berbincang mengenai perkara ini. Kak Nora cuma memperjuangkan hak waris, dan kebetulan saya pula yang menyanyikan lagu itu serta mengenali pihak yang terlibat. Jadi, komunikasi menjadi lebih mudah kerana kami saling mendengar dan saya telah menguruskan perkara ini," ujarnya.

Dalam masa sama, insiden berkenaan turut menjadi pengajaran bermakna buat Rossa, malah mendedahkan bahawa industri muzik di Indonesia juga berdepan isu yang hampir sama.

"Isu ini turut membuka mata saya kerana di Indonesia juga berdepan masalah yang hampir sama, iaitu royalti tidak dibayar dan sistem distribusi yang kurang baik. Jadi, saya sangat memahami situasi ini," jelasnya.

Terdahulu, Nora memuat naik hantaran di Insta Stories mempersoalkan siapa yang memberi keizinan kepada Rossa merakamkan semula lagu Sinaran yang dimuatkan dalam mini album terbaharu penyanyi itu berjudul Asmara Dansa.

Dalam hantaran tersebut, Nora meluahkan rasa terkilan apabila lagu ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi dan komposer terkenal, Allahyarham Adnan Abu Hassan, digunakan tanpa sebarang keizinan.

Nora turut menegaskan isu pembayaran royalti tidak wajar dipandang remeh kerana membabitkan hak penggiat seni dan warisnya.

Must-Watch Video

Advertisement