Sekilas
- Hawa Rizwana membawa watak Zara, gadis OKU cacat penglihatan dalam drama PL, I Love You, dengan belajar dari video dan memerhati pemuzik buta di MeleTOP.
- Watak Zara adalah anak yatim piatu yang buta sejak usia 18 tahun dan peminat tegar bola sepak, terutama pasukan Arsenal.
- Drama ini mengisahkan percintaan dan perseteruan antara dua kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, disiarkan setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam di Astro Ria.
Pertama kali diberi kepercayaan membawa karakter seorang gadis kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan menerusi drama PL, I Love You, Hawa Rizwana membuatkan dirinya harus ‘belajar’ lebih banyak untuk mendalami watak tersebut.
Menurut Hawa, selain menonton video di You Tube dan Tik Tok untuk mempelajari bagaimana OKU cacat penglihatan melakukan aktiviti seperti menari dan sukan tinju, dia secara diam-diam memerhati tingkah laku Azmi dan Caliph Buskers yang menjadi pemuzik di rancangan kendaliannya, MeleTOP.
“Sejak mendapatkan tawaran terlibat dałam produksi milik Michael Ang ini, saya banyak memerhati dan ‘belajar’ mengenai orang buta menerusi Azmi dan Caliph Buskers sewaktu bertemu mereka di MeleTOP.
“Saya juga pelajari cara orang buta melakukan aktiviti di media sosial. Kemudian saya ‘kembangkan’ apa yang saya lihat daripada mereka menerusi tunjuk ajar tenaga pengajar (coach acting) Khairunazwan Rodzy dan bantuan Michael Ang serta Hadith,” ujar Hawa.
Hawa yang membawa watak Zara, anak yatim piatu dan seorang gadis yang menjadi buta pada usia 18 tahun merupakan seorang penggemar bola sepak terutama pasukan Arsenal.
Seorang yang berjiwa besar, Zara sangat meminati bola sepak terutama Arsenal dan mengikuti perkembangan pasukan tersebut melalui tontonan podcast milik Rama (Theeban G) lalu mula jatuh hati kepadanya.
Di sebalik semua keterujaan yang dilalui saat terlibat dalam drama lapan episod tersebut, kata Hawa, antara yang paling mencabar adalah kerana sikap rakan-rakan pelakon lain yang suka mengusiknya.
“Pada saya antara yang mencabar adalah pelakon lain suka usik seperti melambai depan mata lah, buat buat nak tumbuk, namun pada masa sama, saya perlu kekal tenang dengan reaksi seperti tidak pernah berlaku apa-apa kerana saya buta,” katanya lagi.
PL, I Love You yang sudah bersiaran sejak 30 September lalu juga menampilkan Kamal Adli, Intan Serah, Theeban G, Everrts Gomes sudah memulai tayangan setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam di Astro Ria.
Drama berdurasi sejam itu mengangkat kisah percintaan antara Lily dan Adam yang diselangi perseteruan dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Chelsea.
Apabila Lily melamar Adam, Adam bersetuju untuk berkahwin tetapi enggan menukar sokongan bola sepaknya. Akhirnya, hubungan mereka berakhir. Kemudian, satu prank untuk membalas dendam menjadi tidak terkawal sehingga menyebabkan Adam mengalami amnesia.