Sekilas
- Dr Zulkifli Hasan menyertai perlawanan bola sepak persahabatan antara Pasukan Menteri Agama FC dan Pasukan Peguam Syarie yang penuh semangat kesukanan dan ukhuwah.
- Perlawanan itu menjadi platform mengeratkan hubungan antara peguam syarie, pegawai syariah, dan warga institusi kehakiman Islam serta menyaksikan Dr Zulkifli menjaringkan gol kemenangan.
- Beliau mengajak golongan muda menjadikan sukan sebagai gaya hidup untuk kesihatan fizikal yang menyokong ibadah dan khidmat kepada masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan meluangkan masa menyertai perlawanan bola sepak persahabatan membabitkan Pasukan Menteri Agama FC menentang Pasukan Peguam Syarie dalam suasana penuh semangat kesukanan dan ukhuwah.
Menurut Dr Zulkifli, perlawanan itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara peguam syarie, pegawai syariah serta warga institusi kehakiman Islam yang sama-sama memainkan peranan memperkukuh pentadbiran syariah di negara ini.
Beliau berkata, perlawanan berkenaan menjadi lebih bermakna apabila berpeluang beraksi menentang beberapa bekas pelajarnya yang kini berjaya sebagai peguam syarie.
"Alhamdulillah, saya berpeluang turun padang beraksi dalam perlawanan persahabatan bersama peguam-peguam Syarie dan pegawai-pegawai Syariah. Lebih bermakna apabila dapat berentap dengan bekas-bekas pelajar saya sendiri yang kini berjaya membina kerjaya dalam bidang masing-masing. Inilah keindahan ukhuwah yang terus terjalin walaupun selepas bertahun-tahun," katanya.
Perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi kompetitif, namun tetap mengekalkan semangat kesukanan dan saling menghormati.

Dr Zulkifli turut mencuri tumpuan apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan sekali gus membantu Pasukan Menteri Agama FC menewaskan lawan.
A post shared by YB Senator Dr. Zulkifli Hasan (@drzulkiflihasan)
Mengulas lanjut, beliau mengajak golongan muda menjadikan aktiviti sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup kerana kesihatan fizikal memainkan peranan penting dalam melaksanakan ibadah dan berkhidmat kepada masyarakat.

"Saya mengajak anak-anak muda untuk terus kekal aktif. Apabila badan sihat dan cergas, kita akan lebih bersemangat serta selesa untuk beribadah, menuntut ilmu dan berkhidmat demi ummah. Marilah kita bersama-sama berlumba-lumba melakukan kebaikan, fastabiqul khairat," katanya.