Seorang jururawat pergigian menerima pampasan lebih kurang £25,000 (kira-kira RM143,000) selepas mahkamah mendapati beliau dibuli rakan sekerja apabila sering menjadi mangsa jelingan di tempat kerja.
Tribunal pekerjaan memutuskan Maureen Howieson, 64, telah berdepan layanan biadab dan diperlekehkan ketika bertugas di sebuah klinik pergigian.
Advertisement
Insiden berlaku selepas kehadiran seorang ahli terapi pergigian baharu, Jisna Iqbal yang didakwa enggan melaksanakan beberapa tugasan serta kerap menjeling mata setiap kali Howieson bercakap dengannya.
Howieson yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang pergigian hanya bertugas di kaunter pendaftaran kerana masalah kesihatan, manakala Jisna pula doktor gigi dari India yang belum layak merawat pesakit di United Kingdom
Seorang doktor gigi lain, Daniela Siersch turut mengesahkan Jisna menolak arahan tertentu termasuk membersihkan tandas sebelum pemeriksaan kerana beranggapan dirinya bergelar doktor gigi.
Situasi tegang itu akhirnya menyebabkan Howieson mengalami serangan panik hingga menangis di tempat kerja sebelum mengambil keputusan meletakkan jawatan pada Oktober 2024.
Pemilik klinik, Dr Fary Johnson Vithayathil, mengakui sudah mengetahui masalah melibatkan Jisna sejak awal tetapi gagal bertindak menyelesaikannya.
Hakim Pekerjaan, Ronald Mackay, mendapati majikan sengaja membiarkan persekitaran kerja bermusuhan berterusan selain melakukan pelanggaran kontrak serius dan pemecatan tidak adil terhadap Howieson.
Beliau menegaskan, jaminan yang diberikan kepada Howieson tidak pernah ditunaikan, sekali gus memburukkan lagi keadaan.