Sekilas
- Pelakon Arena Wan kini sedang dalam fasa mencari semula diri selepas berasa hilang arah dan tiada semangat untuk berkongsi kehidupannya seperti sebelum ini.
- Arena mengakui hidupnya kini seperti robot yang menjalankan tugas tanpa rasa dari hati, namun dia terus berusaha kerana tanggungjawab terhadap keluarga.
- Dia memohon maaf jika kelihatan menjauhkan diri dan sedang cuba memahami dirinya serta mencari semula semangat dan tujuan hidup yang pernah dimiliki.
Pelakon Arena Wan mendedahkan dia kini sedang berada dalam fasa mencari dirinya semula.
Menerusi perkongsian di Threads, Arena berkata dia tidak mempunyai semangat untuk berkongsi mengenai kehidupannya seperti sebelum-sebelum ini.
Lebih mengecewakan, dia terpaksa berusaha keluar daripada pergelutan diri sendiri kerana mempunyai tanggungjawab dan komitmen kerja.
“Kebelakangan ini, saya rasa sedikit hilang arah. Saya sampai ke satu tahap di mana saya langsung tidak mempunyai semangat untuk memuat naik apa-apa, menghasilkan content atau berkongsi mengenai kehidupan saya seperti yang selalu saya lakukan sebelum ini.
“Ada kalanya, terasa begitu sukar untuk bernafas, seolah-olah terlalu banyak beban emosi yang saya tanggung sehingga saya sendiri tidak tahu dari mana harus saya mulakan.
“Apa yang lebih mengecewakan, saya tahu saya tidak boleh terus berada dalam keadaan seperti ini terlalu lama. Hidup tetap perlu diteruskan, kerja tetap perlu diselesaikan dan tanggungjawab tidak akan hilang begitu sahaja hanya kerana saya sedang bergelut dengan diri sendiri,”tulisnya.
Arena turut menyifatkan dirinya kini hidup umpama robot yang melakukan sesuatu kerja dan bukanlah datang daripada hatinya sendiri.
“Kadangkala, saya rasa seperti hanya menjalani kehidupan secara automatik. Seolah-olah saya ini robot. Apa sahaja yang saya lakukan, apa sahaja yang saya muat naik atau kongsikan, semuanya terasa seperti saya melakukannya hanya kerana kerja, kerana ia sesuatu yang perlu dilakukan, kerana saya perlu terus melangkah dan memenuhi segala tanggungjawab yang ada.
“Dan sebahagian besar daripada semua ini adalah kerana saya mempunyai keluarga yang menjadi sebab saya terus berusaha keras. Saya tahu mengapa saya perlu terus kuat dan melangkah ke hadapan. Tetapi ada kalanya, saya berharap saya dapat melakukan sesuatu hanya kerana saya benar-benar menyukainya, bukan kerana saya merasakan bahawa saya terpaksa melakukannya,"ujarnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Generasi Perfect 10 itu turut memohon maaf jika masalah berkenaan membuatkan dirinya kelihatan seperti menjauhkan diri daripada orang ramai.
“Saya minta maaf jika kebelakangan ini saya agak menyepi. Bukan niat saya untuk menjauhkan diri atau mengabaikan sesiapa. Saya cuma sedang cuba memahami apa yang berlaku dalam diri sendiri dan mencari semula siapa diri saya sebenarnya.
“Sejak akhir-akhir ini, saya sering berasa begitu kosong, seolah-olah saya telah kehilangan sinar dalam diri, arah tuju dan malah tujuan hidup saya sendiri. Saya rindukan diri saya yang dahulu. Saya rindukan semangat dan keterujaan untuk melakukan perkara-perkara yang pernah saya sukai,”katanya lagi.