Skip to main content

Berita

Kahwin Lari, Keluarga Anggap Anak Meninggal Dunia

N

Sebuah keluarga di Vidisha, India mencetuskan perhatian ramai selepas bertindak mengadakan upacara pengebumian sebagai simbolik terhadap anak perempuan mereka yang melarikan diri dan berkahwin secara rahsia dengan kekasihnya.

Dalam kejadian yang berlaku di kawasan Chuna Wali Gali baru-baru ini, keluarga terbabit mengisytiharkan anak perempuan mereka, Kavita, 23, sebagai ‘meninggal dunia’ selepas gagal menerima keputusan wanita itu meninggalkan rumah dan membina kehidupan baharu tanpa pengetahuan keluarga.

Menurut laporan media tempatan, Kavita dilaporkan meninggalkan rumah secara tiba-tiba sebelum keluarganya bertindak mencari di sekitar kawasan kediaman serta menghubungi saudara-mara, namun tidak berhasil mengesan keberadaannya.

Beberapa hari kemudian, keluarganya dimaklumkan bahawa Kavita telah melarikan diri bersama kekasihnya dan berkahwin secara rahsia.

Berita tersebut mengejutkan keluarga hingga mereka mengurung diri di rumah dan mengalami tekanan emosi yang mendalam.

Selepas berbincang dengan saudara-mara, keluarganya mengambil keputusan simbolik untuk menganggap Kavita telah meninggal dunia.

Mereka menghasilkan patung menyerupai Kavita menggunakan tepung, meletakkannya di atas usungan mayat dan mengadakan perarakan pengebumian melalui beberapa jalan utama di bandar itu.

Patung tersebut kemudian dibawa ke tanah perkuburan dan upacara pembakaran dilakukan mengikut adat setempat sebagai simbol ‘pengakhiran’ hubungan kekeluargaan.

Abang Kavita, Rajesh Kushwaha berkata, adiknya dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan diberikan pendidikan terbaik.

Menurutnya, tindakan Kavita telah memusnahkan harapan dan impian keluarga terhadap masa depannya.

Sementara itu, bapa Kavita, Rambabu Kushwaha meluahkan kesedihan mendalam sambil menyifatkan keputusan anaknya sebagai detik paling menyakitkan dalam hidupnya.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement