Skip to main content

Selebriti

"Kalau Saya Nak Tumpang Populariti Pun Itu Abang Saya" - Syazwan Razak Akui Muak Kena Banding Dengan Syafiq Kyle, Goyah Jika Orang Letak 'Benchmark' Yang Sama

Syazwan Razak

Ringkasan AI

  • Syazwan Razak sering dibandingkan dengan abangnya, pelakon Syafiq Kyle, sejak dahulu lagi.
  • Dia memilih untuk tidak melatah dan menganggap perbandingan itu perkara biasa dalam industri seni.
  • Syazwan mengakui kadang-kadang muak dengan kritikan, tetapi ia menjadi pembakar semangat untuknya terus belajar dan berusaha.
  • Dia menegaskan tidak menumpang populariti abangnya dan memulakan kerjaya seni secara berdikari.
  • Syazwan kini membintangi drama BF Green Flag yang akan ditayangkan eksklusif di MYTV Mana Mana mulai 13 November.

Adik kepada pelakon popular Syafiq Kyle, iaitu Syazwan Razak, berkongsi bahawa dirinya sering dibandingkan dengan abangnya sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun, Syazwan memilih untuk tidak melatah dan menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang biasa, memandangkan ramai adik-beradik turut sama menceburi industri seni.

"Bagi saya perbandingan itu dah wujud sejak dulu lagi. Bagi saya ianya terletak pada individu itu sendiri dan mereka yang menilai cara saya dan abang berlakon.

"Dalam industri pun kita ada banyak adik-beradik yang berlakon, lama-kelamaan mereka akan nampak perbezaan itu sendiri," katanya kepada Gempak.

Syazwan berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri majlis pelancaran drama BF Green Flag di Studio Village pada Rabu.

Dalam masa sama, Syazwan mengakui bahawa dia kadangkala berasa muak dengan kritikan yang diterima namun menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus bertahan dalam industri seni tanah air.

Dia bagaimanapun tidak menafikan wujud sedikit rasa gusar apabila ada pihak meletakkan benchmark yang sama antara dirinya dan abangnya memandangkan dia masih baharu dalam dunia lakonan.

"Tipu kalau saya kata saya tak muak dengan kritikan itu tetapi saya ambil ia sebagai pembakar semangat untuk saya kaji dan belajar supaya saya boleh buat lebih dari abang saya. Bukanlah nak bertanding dengan dia.

"Semua tau benchmark Syafiq kat mana dan saya pun baru masuk dalam industri. Saya akui ada sedikit goyah kalau orang meletakkan benchmark yang sama. Saya ada cara saya sendiri," ujarnya.

Sementara itu, Syazwan turut menegaskan bahawa jika benar dia ingin menumpang populariti abangnya, dia sudah lama berbuat demikian sebelum menyertai dunia seni.

"Kalau saya nak tumpang populariti pun itu abang saya. Kalau saya nak tumpang dah lama saya buat sebelum masuk Hero Remaja lagi. Abang saya pun pernah menasihati saya untuk bermula dari bawah agar saya tahu baik buruk industri. Kemudian, baru buat keputusan sama ada untuk bertahan atau meninggalkan industri ini," jelasnya.

Kini, Syazwan muncul dalam drama BF Green Flag bersama barisan pelakon seperti Athalia Deena Buswani, Azhan Rani, Dafi, dan ramai lagi, di bawah arahan Kamal Husni yang akan ditayangkan secara eksklusif di MYTV Mana Mana bermula 13 November ini.

Must-Watch Video

Advertisement