Skip to main content

Selebriti

"Kalau Tak Nak, Cakap Tidak Boleh" - Cat Farish Kongsi Pengalaman Terima Bayaran Rendah,  Titip Nasihat Agar Artis Bijak Kendali Tawaran

Cat Farish

Ringkasan AI

  • Cat Farish pernah menerima tawaran persembahan dengan bayaran sangat rendah pada awal kerjaya seninya.
  • Dia menegaskan penting untuk fokus pada kerjaya walaupun bayaran kecil, sebelum akhirnya menerima bayaran tinggi untuk persembahan.
  • Cat Farish berkongsi pengalaman ini semasa majlis pembukaan butik JeMels Atelier di IOI City Mall.
  • Beliau menasihatkan artis supaya bijak menangani tawaran bayaran rendah dan tidak takut untuk menolak jika perlu.
  • Penyanyi Ariff Bahran pula meluahkan kekecewaan selepas ditawar hanya RM1,400 untuk dua lagu, sehingga hampir berputus asa dalam kerjaya nyanyian.

Penyanyi, Cat Farish mengakui pernah menerima tawaran persembahan dengan bayaran sangat rendah ketika awal kerjaya seninya.

Cat Farish atau nama sebenar Farish Ramli berkata bahawa walaupun pernah ditawarkan bayaran rendah, dia tetap fokus pada kerjaya nyanyian sehingga akhirnya menerima bayaran yang tinggi.

"Kita nak jadi penyanyi akan ada benda macam ini, RM500 pun ada. Ini bukan fasal duit tapi berkaitan cari makan.

"Dunia artis kalau kita baru, memang dulu kita kena bayar RM20 seorang, paling murah RM20 kongsi lima orang masa zaman gig.

"Ketika itu fokusnya menyanyi tetapi bila dah naik atas mulalah harga RM5,000, RM10,000, RM20,000 sampai sekarang RM50,000 untuk persembahan.

"Tetapi kalau budak universiti panggil untuk menyanyi bajet ada RM500 hiburkan 1,000 pelajar. Saya akan fikir mereka akan dengar balik lagu saya, itu cara berfikir sebagai orang lama," katanya kepada Gempak.

Cat Farish berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri majlis pembukaan rasmi butik JeMels Atelier di IOI City Mall pada Sabtu.

Ahli kumpulan Ruffedge itu tidak menafikan bahawa ada pihak yang menawarkan bayaran rendah untuk mengambil kesempatan, tetapi menegaskan bahawa artis harus bijak menangani situasi tersebut.

"Ada setengah akan ambil kesempatan seperti persembahan amal. Macam mana nak elak dan jadi bijak? RM1,500 setengah orang rasa sikit ada yang rasa banyak.

"Bagi saya RM1,500 tulis nama Ruffedge Charity dalam 'check' dan duit itu sebagai token kami datang.

"Kalau tak nak, cakap tidak boleh. Kadang-kadang ada orang ambil kesempatan dan ada yang betul-betul ada RM1,500. Itu contoh bagaimana kami bertahan," ujarnya.

Terdahulu, penyanyi, Ariff Bahran meluahkan rasa kecewa apabila dia telah ditawar hanya RM1,400 untuk menyanyikan dua buah lagu sehingga membuatkan dirinya seakan tidak lagi berminat untuk meneruskan kariernya sebagai penyanyi.

Must-Watch Video

Advertisement