Sekilas
- Dr. Imelda Balchin menegaskan bahawa menyusukan anak adalah tanggungjawab ibu dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja dengan menggunakan nursing cover untuk keselesaan dan menutup aurat.
- Beliau mengutuk tindakan mengecam dan menyebarkan gambar ibu menyusukan anak dengan niat buruk, terutama ketika Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia.
- Isu ini timbul selepas seorang pengguna Threads memuat naik gambar ibu menyusukan anak di LRT, yang mencetuskan perdebatan dan kecaman dalam kalangan warganet.
Pakar sakit puan terkenal, Dr. Imelda Balchin tampil bersuara mengenai isu seorang ibu yang tular selepas menyusukan anaknya di sebuah stesen kereta api.
Menerusi perkongsian di Threads, Dr. Imelda berkata, menyusukan anak merupakan tanggungjawab seorang ibu dan ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
Menurutnya, penggunaan nursing cover juga membolehkan ibu menyusukan anak dengan lebih selesa ketika berada di tempat awam.
“Satu kelebihan 'breastfeeding' ialah boleh dibuat dimana-mana saja. Pakai nursing cover sahaja, boleh tutup aurat. Sangat senang walaupun di tempat awam. Banyak pahala ibu yang menyusukan bayi ini.
“Yang berdosa ialah orang yang mengecam, menyusahkan dan memburukkan ibu-ibu yang menjalankan tanggungjawab ini. Siap ambil gambar dan viralkan dengan niat buruk,"tulisnya.
Dalam masa sama, Dr. Imelda meminta orang ramai supaya tidak menjadikan ibu yang sedang menyusukan anak sebagai bahan kecaman terutama ketika Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia.
“Ini Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia! Kalau tak ada kerja, pergilah viralkan pakcik yang merokok itu. Bukannya ibu yang sedang menyusukan anak!”
Terdahulu, seorang pengguna Threads memuat naik gambar seorang ibu yang sedang menyusukan anak di dalam LRT sambil mendakwa perbuatan tersebut memalukan.
Perkara tersebut telah mencetuskan perdebatan warganet dengan rata-rata mengecam tindakan individu tersebut.