Selepas hampir lima bulan mendiamkan diri susulan insiden bermesra dengan bos ketika konsert Coldplay di Boston, Kristin Cabot akhirnya tampil bersuara.
Menerusi temu bual dalam The New York Times, bekas Ketua Sumber Manusia syarikat teknologi terkenal, Astronomer itu mengakui momen tular tertangkap berpelukan dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut, Andy Byron adalah keputusan buruk yang menghancurkan kerjayanya.
Cabot, 53, yang memfailkan perceraian daripada suaminya, Andrew Cabot pada Ogos lalu, menegaskan bahawa dia dan Byron tidak pernah menjalinkan hubungan fizikal sebelum malam konsert tersebut.
"Saya telah membuat keputusan yang salah. Selepas mengambil beberapa minuman keras, saya menari dan berkelakuan tidak sopan dengan bos.
"Jadi, saya mengambil tanggungjawab penuh dan melepaskan kerjaya disebabkan perkara itu. Itulah harga yang perlu saya bayar," katanya baru-baru ini.
Bercerita mengenai detik tersebut, Cabot memberitahu bahawa dia berasa amat terkejut dan malu apabila vokalis Coldplay, Chris Martin secara spontan mengulas aksi mereka di hadapan ribuan penonton yang hadir ke konsert berkenaan pada 16 Julai lalu.
"Sama ada mereka sedang menjalin hubungan sulit atau mereka sangat malu," gurau Martin ketika itu.
Cabot menyifatkan situasi tersebut sebagai janggal dan memalukan kerana kedua-duanya memegang jawatan tinggi di syarikat tersebut.
Lebih memilukan adalah kesan terhadap anak-anaknya apabila Cabot mendedahkan dirinya menerima pelbagai kecaman dan ancaman bunuh daripada warga maya.
Katanya lagi, salah satu mesej ancaman tersebut didengari anak-anaknya melalui pembesar suara telefon.
"Anak-anak berada dalam keadaan yang sangat tertekan, takut nyawa saya dan mereka dalam bahaya. Itulah saat di mana segalanya mulai runtuh.
"Selain hilang pekerjaan, saya kini disisihkan kawan lama dan rakan sekerja. Rasa dipulaukan oleh orang terdekat lebih menyakitkan berbanding cacian orang awam.
"Saya mahu anak-anak tahu bahawa setiap manusia boleh melakukan kesilapan dan kesalahan besar. Namun, tidak sepatutnya sampai tahap diugut bunuh hanya kerana perkara tersebut," tegasnya lagi.
Video rakaman di Stadium Gillette, Foxborough itu tular di TikTok sehingga memaksa kedua-duanya meletak jawatan dari Astronomer.
Sumber: Sinar Harian