Sekilas
- Mimi Lana jelaskan kapsyen 'Mom & Dad' yang dimuat naik hanyalah ikut trend media sosial dan tiada maksud kehamilan.
- Dia bersyukur dengan doa yang diterima dan percaya rezeki datang pada waktunya dari Tuhan.
- Mimi dan suami, Syafiq Kyle, akan bercuti bersama tiga pemenang kempen Cinta Merah Biru di Desaru tidak lama lagi.
Muat naik kapsyen 'Mom & Dad', pelakon, Mimi Lana tampil menjelaskan kenyataan yang dibuatnya menerusi aplikasi Threads.
Mimi atau nama penuhnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin berkata bahawa kapsyen tersebut tidak membawa maksud apa-apa dan hanyalah sekadar mengikuti trend semasa.
"Tak adalah hamil. Itu kan macam trend di media sosial, yang mana kalau pasangan muat naik gambar, mereka akan tulis 'Mom and Dad'.
"Tapi, waktu saya tulis itu, Syafiq dah ingatkan dah, 'Kalau you tulis begitu, mesti orang akan ingat you ada apa-apa (hamil)'.
"Tapi, saya anggap tak ada apa-apa pun dan muat naik saja. Tapi, memang betul, tak ada apa-apa.
"Kalau sudah tiba masanya, mestilah saya akan kongsikan juga (berita kehamilan) sebab saya tak boleh nak sorokkan pun," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Syafiq Kyle itu turut bersyukur atas segala doa yang dititipkan padanya dan meletakkan kepercayaan penuh pada rezeki tuhan.
"Alhamdulillah, saya gembira bila ada yang mendoakan. Selagi orang doakan kita, maksudnya, rezeki itu Insya-Allah akan ada dan ada harapanlah untuk kita," ujarnya.
Terbaharu, Mimi dan Syafiq akan bercuti bersama tiga pemenang kempen Cinta Merah Biru ke Desaru selama tiga hari dua malam di Anantara Desaru Coast Resort & Villas, Johor.
Sekadar rekod, Mimi Lana dan Syafiq Kyle selamat bernikah pada Februari tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup.