Penyanyi dan aktivis kemanusian, Zizi Kirana berkongsi pengalaman ketika ditahan tentera Israel semasa menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza baru-baru ini.
Dalam satu sesi perkongsian bersama Astro AWANI, Zizi menceritakan detik hitam yang dialaminya apabila tentera Israel memperlakukan dirinya dan sukarelawan lain dengan kasar serta tidak berperikemanusiaan.
Advertisement
“Saya pakai topi, dia suruh buka topi. Bila saya nak tenangkan diri, saya nak mengaji, dia ambil al-Quran saya, tarik dan tanya, ‘what is this?’
"Saya jawab, ‘this is Quran, this is my Quran.’ Tapi dia terus rampas. Mereka suruh buka kasut, buka stokin, saya kata tak boleh, haram. Lepas tu mereka paksa saya buka tudung. Saya cakap, "no, it’s haram, I am Muslim". Tapi mereka tarik juga tudung saya,” katanya.
Zizi turut menceritakan bahawa semasa di penjara, dia masih tidak dibenarkan menutup aurat dengan sempurna.
Malah rakan-rakan bukan Islam yang menyertai misi tersebut menangis melihat dirinya diperlakukan sebegitu.
“Kawan-kawan saya yang bukan Islam pun menangis tengok. Mereka jerit, ‘be strong!’ Saya cuma mampu sebut, Ya Allah, Ya Allah… sambil mereka terus periksa dan suruh saya buka semua pakaian.
“Sampai di penjara pun mereka tak bagi pakai hijab. Inner baju saya digunting, kasut ditarik, tudung saya direntap lagi sebelum naik bas ke penjara. Tapi saya tetap pegang sisa hijab saya yang tinggal.
“Ya Allah, berikanlah balasan yang setimpal dengan kezaliman yang mereka lakukan terhadap umat Islam di dunia ini,"tambahnya.
Misi Global Sumud Flotilla disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara, termasuk 23 rakyat Malaysia, yang belayar menuju Gaza membawa bantuan kemanusiaan dan simbol solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi.
Kesemua aktivis Malaysia kini selamat tiba di Istanbul selepas dibebaskan hasil usaha diplomatik Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.