Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan kembali dengan lagu single terbaharunya berjudul Kacamata.
Lebih menarik, lagu tersebut turut dimasukkan ke dalam album ketujuhnya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi berjudul 'Retrospektif'.
Advertisement
Retrospektif amat istimewa baginya kerana album tersebut merupakan sentuhan asalnya dalam mengembalikan pop Indonesia yang lebih matang dan berjiwa lokal.
Lagu Kacamata merupakan identiti pop yang sinonim dengan Afgan namun diperhalusi dengan elemen R&B moden dan kontemporari.
Dengan membawa tema kisah percintaan yang mengubah diri pada orang yang salah, ia menjadi metafora penting tentang kehilangan jati diri, pengkhianatan terhadap diri sendiri, serta makna sebenar cinta yang tulus.
Afgan turut berkata album Retrospektif dihasilkan sebagai perjalanan pulang ke akar muzik ketika di awal kemunculan.
"Bagi saya, Kacamata sangat mewakili era itu. Selama 15 tahun berkarya, saya dikenali dengan imej berkaca mata dan lagu-lagu pop, jadi secara simbolik, single ini amat tepat untuk membuka tirai album baharu saya," katanya.
Afgan yang terkenal menerusi lagu Bawalah Cintaku itu turut bekerjasama dengan tiga pemuzik berbakat iaitu Iqbal Siregar, Petra Sihombing, dan Kamga Mohammed.
Menurut Afgan, selain membawa simbol perjalanan muziknya, 'Kacamata' juga menyampaikan pesan yang mendalam.
"Jangan terlalu berharap pada manusia, kerana satu-satunya yang boleh kita sandarkan hanyalah Tuhan. Lagu ini ibarat peringatan untuk kita semua agar tidak kehilangan diri sendiri ketika berhadapan dengan kekecewaan.
"Dengan rentak yang ringan dan lirik yang mudah diingati, Kacamata ialah lagu yang memberi rasa positif sekali gus membuat pendengar tersenyum di tengah kegalauan, menyedarkan kita bahawa hidup tidak selamanya berat, dan mengajak kita menikmati setiap fasa kehidupan," katanya.
Menariknya, lagu ini turut menonjolkan instrumen gitar sebagai elemen utama, berbeza daripada kebanyakan karya Afgan terdahulu yang lebih berteraskan piano dan orkestra.
Single terbaharu Afgan ini sudah boleh didengarkan di semua platform digital bermula 10 Oktober 2025 manakala album penuhnya, Retrospektif bakal dilancarkan pada bulan November 2025.