Skip to main content

Jenayah

Kes Tikam Pelajar Perempuan: Senjata Diguna Dibeli Dalam Talian - KP Selangor

Kes Tikam Pelajar Perempuan: Senjata Diguna Dibeli Dalam Talian - KP Selangor

Polis mengesahkan senjata tajam yang dirampas daripada suspek kes bunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam,  dibeli secara dalam talian.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata senjata berkenaan, iaitu pisau dan kerambit dipercayai sudah lama dibeli oleh suspek lelaki berusia 14 tahun itu, namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti bila pembelian dilakukan. 

Advertisement

Beliau berkata berdasarkan laporan awal bedah siasat, punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman yang berulang kali pada bahagian dada dan leher. 

“Punca kematian adalah disebabkan oleh multiple stab pada bahagian dada dan leher, dan berdasarkan siasatan hanya senjata (pisau) digunakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Shazeli berkata kes berkenaan tidak melibatkan unsur buli selain suspek juga tidak mempunyai rekod disiplin di sekolah.

Beliau berkata pihaknya percaya pengaruh media sosial dan dorongan emosi dikenal pasti sebagai antara faktor suspek berkelakuan sedemikian.

“Kita juga masih menyiasat platform dan medium media sosial yang dibuka atau dilihat oleh suspek,” katanya.

Dalam pada itu, Shazeli berkata sebanyak 57 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan termasuk guru dan pelajar sekolah, ahli keluarga mangsa dan suspek serta wakil kaunseling sekolah.

Beliau berkata suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Dalam insiden kira-kira 9.30 pagi itu, menyaksikan seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut disyaki ditikam oleh suspek dan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, iaitu di dalam kawasan sekolah mereka.

Sumber: BERNAMA

Must-Watch Video

Advertisement