Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan penyebaran fitnah mengaitkan beliau dalam kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menegaskan, fitnah yang mengaitkan beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pengetua sekolah Zara Qairina itu jelas berniat jahat.
Advertisement
“Akhir-akhir ini banyak sekali fitnah direkayasa secara liar, jahat dan menyebarkan kebencian.
“Setakat tepis dan nafi, ternyata tidak menjadi pengajaran. Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya.
“Tindakan undang-undang juga akan diambil. Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua pihak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Menerusi hantaran sama, Fadhlina turut berkongsi tangkap layar pengguna media sosial yang membuat hantaran fitnah terhadapnya.
Pemilik akaun media sosial itu mendakwa Fadhlina mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pengetua sekolah berkenaan.
“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi. Hormati keluarga Allahyarham Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” katanya.