Sekilas
- Remy Ishak menjelaskan emoji 'love eyes' pada foto Aghniny Haque hanyalah untuk mempromosikan filem mereka, Khadam, dan menegaskan Aghniny adalah rakan seindustri sahaja.
- Remy menegaskan isterinya tahu setiap tindakannya dan dia tidak menyembunyikan apa-apa, termasuk foto AI yang tular.
- Remy juga terlibat dalam filem Mikael: Pemburu Dua Alam yang akan ditayangkan di seluruh Malaysia mulai 2 April ini.
Pelakon, Remy Ishak tampil menjelaskan tindakannya meninggalkan emoji 'love eyes' pada hantaran selfie milik pelakon Indonesia, Aghniny Haque.
Remy atau nama penuhnya Mohammad Zalimei Ishak berkata bahawa Aghniny hanyalah rakan seindustri yang bekerjasama dengan dirinya menerusi filem berjudul Khadam.
"Itu heroin saya dalam filem Khadam. Orang tidak tahu, tapi tak akanlah saya nak beritahu pada semua orang.
"Masyarakat kalau boleh nak tahu segalanya pasal saya tapi bukan semua boleh berkawan dengan saya
"Apabila mereka tak dapat tahu mulalah mak mereka cerita yang tidak bagus. saya tidak perlu terangkan kepada semua siapa kawan saya, nak reply dekat siapa. Netizen tidak perlu tahu pun," katanya kepada Gempak.
Remy berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Mikael: Pemburu Dua Alam yang berlangsung di Midvalley Kuala Lumpur pada malam Selasa.
Mengulas lanjut, Remy berkata bahawa setiap perbuatan dan tindakannya diketahui isterinya, malah dia tidak pernah menyembunyikan apa-apa darinya.
"Isteri saya adalah orang yang paling banyak sekali tahu pasal saya. Isteri saya pun tertanya-tanya kenapa netizen ini begitu pelik.
"Setiap perbuatan saya, semuanya isteri saya tahu. Saya tidak berselindung. Saya berlakon dengan siapa, malah foto AI yang tular ini pun saya beri dulu kepada isteri untuk tanya dia okay ke tidak," ujarnya.
Terdahulu, ramai dalam kalangan netizen yang kurang senang dengan tindakan Remy meninggalkan emoji 'love eyes' pada foto selfie Aghniny.
Bagaimanapun, Ezza menjelaskan bahawa komen tersebut hanyalah sekadar mempromosikan filem terbaharu suaminya bersama pelakon berkenaan berjudul Khadam.
Sekadar info, Remy dan Ezza mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2021.
Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki iaitu Tuah Alam yang kini berusia 2 tahun.
Dalam perkembangan lain, Remy turut membintangi filem Mikael: Pemburu Dua Alam yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 2 April.
Selain Remy, Norreen Iman, Fabian Loo, Alicia Amin dan ramai lagi turut memeriahkan filem tersebut.
Filem arahan Zahir Omar ini mengisahkan seorang pegawai polis yang menyiasat kes pembunuhan kejam sebelum menyedari ia ada kaitan dengan makhluk dari alam jin.
Siasatan tersebut akhirnya membawa kepada pertembungan dengan Raja Jin demi menjaga keseimbangan antara dua dunia.