Sekilas
- Fasha Sandha jelaskan isu konflik dengan adiknya, Elisya Sandha, dan berterima kasih atas sokongan serta doa positif netizen.
- Walaupun rapat, mereka akui pernah bergaduh kecil dan sentiasa amalkan sikap bertolak ansur untuk kekalkan hubungan keluarga.
- Fasha dan Elisya kini menjadi duta Gardenia NuMee, menonjolkan hubungan kekeluargaan yang erat dalam kempen jenama tersebut.
Pelakon, Fasha Sandha tampil menjelaskan isu konflik keluarga yang berlaku antara dirinya dan adiknya, Elisya Sandha.
Meskipun menerima pelbagai reaksi yang berbeza daripada netizen, Fasha berkata dia amat terharu dengan keprihatinan orang ramai yang sentiasa mendoakan hubungan mereka berdua.
“Terima kasih kerana prihatin dan menerima dengan baik. Ramai dm saya dan nasihat jangan bergaduh adik-beradik. Ada yang percaya dan ada yang kata sebahagian dari promosi produk. Ada juga yang beri nasihat. Terima kasih atas doa yang baik-baik buat kami.
“Netizen semua baik dan positif walaupun kita tulis macam nak bergaduh. Mungkin sebab hubungan kami amat kuat. Tak dinafikan, ramai juga yang percaya. Ada beberapa kawan yang tanya mengenai kesasihan berita itu,”katanya kepada Gempak.
Fasha berkata demikian ketika menghadiri majlis pengenalan duta jenama Gardenia NuMee di Saloma Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam masa sama, pelakon drama Kasih Yang Terkorban itu turut mengakui meskipun hubungan mereka amat rapat, namun mereka juga pernah melalui fasa-fasa pergaduhan antara adik-beradik.
Bagaimanapun, Fasha dan keluarga sentiasa memilih pendekatan bertolak ansur dan memahami antara satu sama lain supaya hubungan mereka kekal terjalin.
“Dia ada pemikiran dia. Saya ada cara saya. Kita menerima pandangan masing-masing. Kalau gaduh pun pasal makanan kerana kami ada citarasa masing-masing. Saya masak guna cara lama dia pula cara nak cepat.
“Tipu kalau adik-beradik tak bergaduh manja-manja. Contoh, dia janji nak datang tetapi tiba-tiba tak datang. Sebagai kakak, ada sahaja momen terasa hati seperti dia banyak luangkan masa bersama keluarga dia.
“Tetapi saya kena menerima sebab dia bukan baby saya lagi. Dia hak milik suami dia. Situasi itu berlaku dia baru berkahwin tetapi lama-lama dah okay dah,”ujarnya.
Ditanya mengenai pandangan mereka mengenai nasib sesetengah keluarga yang tidak berpeluang mempunyai ikatan kekeluargaan yang baik, Fasha berkata ia bergantung pada rezeki masing-masing.
Menurutnya, perkara tersebut terjadi mungkin disebabkan jarak yang memisahkan mereka.
Oleh itu, dia dan keluarganya sentiasa akan mencari masa dan ruang untuk berjumpa terutama ketika sambutan hari istimewa.
“Kami memerlukan antara satu sama lain. Kami tak sempurna. Ikatan kekeluargaan sangat penting bagi kami. Semua berbalik pada rezeki. Ada orang tiada rezeki untuk memiliki keluarga dengan bonding yang kuat. Mungkin mereka duduk berjauhan.
“Tips yang saya boleh beri adalah kena selalu jumpa setiap kali ada sambutan penting keluarga seperti sambutan hari jadi,”titipnya.
Dalam perkembangan lain, Fasha Sandha meneruskan kerjasama dengan Gardenia NuMee untuk tahun ketiga. Manakala, adiknya, Elisya Sandha turut diperkenalkan sebagai rakan jenama baharu.
Penglibatan kedua adik-beradik itu mencerminkan hubungan kekeluargaan sekali gus memperkukuh usaha Gardenia NuMee untuk mendekati keluarga dan generasi muda Malaysia.