Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) sempena konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza akan dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi bagi memudahkan pergerakan penonton.
Menerusi perkongsian sama, perkhidmatan LRT di Stesen Bukit Jalil turut diumumkan akan mula beroperasi pada sabtu minggu hadapan.
Selain itu, operasi jam penukaran stesen juga akan dianjakkan bagi memastikan pengguna dapat tiba ke destinasi masing-masing dengan lebih lancar selepas konsert berakhir.
Untuk rekod, konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 Januari 2026.
Konsert berskala besar itu menjadi kemuncak sambutan 30 tahun penglibatan Siti dalam industri seni tanah air, sekali gus melambangkan dedikasi, kecintaan serta keikhlasan beliau terhadap dunia muzik, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Selain Siti Nurhaliza, konsert ini turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan penyanyi jemputan seperti Noh Hujan, Umairah, Hafiz Suip dan Cakra Khan.