Skip to main content

Berita

Kuala Lumpur 'Lockdown' Penuh Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

Kuala Lumpur Lockdown Penuh Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

Pusat bandar raya Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada minggu depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seramai 16,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh negara terlibat bagi membantu dan melancarkan aliran trafik.

Advertisement

Menurut beliau, PDRM juga akan berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi dari 23 hingga 28 Oktober ini.

"Polis akan menggerakkan kira-kira 16,000 anggota dari seluruh negara, khususnya negeri-negeri bersempadan dengan Kuala Lumpur bermula 23 Oktober ini bagi membantu dan melancarkan aliran trafik.

"Justeru, pusat bandar raya Kuala Lumpur ditutup sepenuhnya dan polis tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan," katanya ketika sidang media pada Selasa.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan mengadakan sidang kemuncak bermula 26 Oktober hingga 28 Oktober ini.

Mohamad turut memaklumkan bahawa presiden Brazil, Afrika Selatan dan beberapa pemimpin dunia lain akan hadir sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN.

Tambah Ahli Parlimen Rembau itu lagi, Cyprus dan Finland juga dijangka menjadi rakan dialog baharu ASEAN.

Sebelum ini, media melaporkan sekitar 70 sekolah bakal beralih kepada sesi kelas dalam talian manakala penjawat awam yang bekerja kira-kira 25 kilometer (KM) dari pusat bandar diminta untuk bekerja dari rumah sepanjang tempoh sidang kemuncak tersebut.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka turut menghadiri sidang kemuncak berkenaan, namun butiran mengenai tarikh keberadaannya di negara ini belum diketahui.

Terdahulu, Pusat Komando dan Kawalan Kuala Lumpur (KLC3) berkata, beberapa jalan utama dan lebuh raya di ibu negara akan ditutup secara berperingkat bermula 26 hingga 28 Oktober ini.

Katanya, penutupan jalan akan dilaksanakan secara berkala antara 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi rasmi peringkat tertinggi sepanjang tempoh persidangan itu.

Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak kawasan berkenaan dan digalak menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, monorel atau bas, malah kenderaan berat juga tidak dibenarkan memasuki pusat bandar ketika waktu puncak persidangan.

Antara jalan utama yang terjejas di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur termasuk Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Binjai, Persiaran KLCC, Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Kuching dan Jalan Perak.

Selain itu, antara simpang jalan strategik yang dijangka terkesan juga termasuk Jalan Ampang-Jalan P Ramlee, Jalan Sultan Ismail-Jalan P Ramlee, Jalan Perak-Jalan P Ramlee, Jalan Perak-Jalan Pinang, Jalan Stonor-Jalan Kia Peng dan Jalan Stonor-Persiaran KLCC.

Turut terjejas, laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang ke pusat bandar serta jalan utama seperti Lebuhraya Lingkaran Putrajaya dan Lebuhraya KLIA juga mengalami penutupan sementara untuk memberi laluan kepada konvoi rasmi.

Lebuh raya utama yang turut terbabit termasuk Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta, Lebuhraya ELITE (KLIA–Putrajaya), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Subang ke Jalan Duta, Lebuhraya Koridor Guthrie (Guthrie) dan Lebuhraya KL-Seremban (Sungai Besi ke pusat bandar).

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement