Skip to main content

Berita

Lebih 750 Pelancong Malaysia Sehari Naiki Whoosh Indonesia

WHOOSH

Lebih 750 pelancong Malaysia sehari menggunakan perkhidmatan kereta api laju Whoosh Indonesia pada awal September, didorong oleh cuti hujung minggu panjang di kedua-dua negara, menurut pengendali perkhidmatan itu.

Sejak dilancarkan pada Oktober 2023, perkhidmatan itu telah membawa 528,000 penumpang asing, dengan rakyat Malaysia mencatatkan jumlah terbesar iaitu 225,000 orang atau 43 peratus, menurut PT Kereta Cepat Indonesia-China (KCIC).

Jurucakap KCIC, Eva Chairunisa berkata, pelancong asing menganggap Whoosh bukan sekadar pengangkutan tetapi juga sebahagian daripada pengalaman pelancongan mereka di Indonesia.

Advertisement

"Setiap hari puluhan kumpulan pelancong Malaysia tiba, sama ada dari lapangan terbang atau selepas melawat Jakarta, sebelum meneruskan perjalanan ke Bandung menaiki kereta api Whoosh,” katanya dalam satu kenyataan.

Whoosh ialah perkhidmatan kereta api laju pertama di Asia Tenggara, menghubungkan Jakarta dengan Bandung dalam tempoh kurang 50 minit bagi jarak 150 kilometer, berbanding satu setengah hingga tiga jam melalui lebuh raya bertol.

Perjalanan ke Bandung di Jawa Barat, destinasi hujung minggu popular bagi penduduk Jakarta, boleh mengambil masa lebih empat jam semasa kesesakan cuti dan lebih lama lagi pada waktu puncak.

KCIC bersama kementerian pelancongan Indonesia dan pihak berkuasa tempatan juga giat meningkatkan promosi ke luar negara, termasuk melalui pameran, lawatan pengenalan dan kerjasama dengan vlogger pelancongan Malaysia untuk menjangkau audiens lebih luas, tambah Eva.

Pelancong Malaysia turut mencatatkan kedatangan tertinggi ke Indonesia pada Julai, iaitu sekitar 212,000 daripada 1.48 juta kunjungan direkodkan bulan itu.

Bagaimanapun, kedatangan dari Malaysia menurun 0.28 peratus berbanding Jun, menurut data Statistik Indonesia (BPS). 

 

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video