Skip to main content

Viral

Lelaki Putuskan Bekalan Elektrik Satu Kampung Gara-Gara Kekasih Tak Jawab Panggilan

Lelaki putuskan bekalan elektrik

Tindakan luar biasa seorang lelaki di Bihar, India mencuri perhatian apabila dia sanggup memutuskan bekalan elektrik seluruh kampung hanya kerana berang panggilannya tidak dijawab oleh kekasih.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, lelaki berkenaan dilihat memanjat tiang elektrik dengan membawa sepasang playar besar sebelum bertindak memotong kabel, sekali gus menyebabkan bekalan elektrik terputus di kampung tempat tinggal kekasihnya itu.

Menurut laporan media tempatan, lelaki itu naik berang selepas panggilannya berulang kali tidak berjawab dan talian sentiasa sibuk. Akibat dikuasai emosi, dia mengambil langkah drastik dengan ‘memadam’ bekalan elektrik seluruh kampung.

Video tersebut pantas menjadi perbualan hangat netizen, malah turut mencetuskan pelbagai meme di platform sosial. Ada yang menggelarnya sebagai ‘hero filem cinta sebenar’, manakala segelintir pula berseloroh lelaki itu sepatutnya kurangkan menonton filem Bollywood.

Seorang pengguna menulis “Saya pernah lihat ramai orang gila bercinta, tapi inilah kali pertama ada yang sanggup bertindak sebegini.”

Tidak kurang yang bimbang tentang keselamatan lelaki berkenaan, dengan komen berbunyi: “Satu langkah silap saja, boleh melayang nyawa.”

Insiden ini bukan kali pertama berlaku seumpama itu di Bihar.

Pada 2022, seorang lelaki dilaporkan sengaja memutuskan bekalan elektrik setiap malam selama dua hingga tiga jam bagi membolehkannya bertemu kekasih secara rahsia.

Penduduk ketika itu bingung dengan gangguan berulang, sebelum mengetahui punca sebenar.

Kejadian terbaru ini sekali lagi membuktikan bagaimana masalah peribadi mampu memberi kesan luar biasa kepada satu komuniti.

Sumber: Sinar Harian

Advertisement

Topik Berkaitan

Must-Watch Video