Kementerian Digital komited untuk membangunkan ekosistem bagi menyokong usaha negara bergerak ke arah menjadi sebuah Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang tahun 2030.
Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata kementerian telah mengambil langkah konkrit dengan memanfaatkan infrastruktur dan mengguna pakai teknologi bagi memastikan kesiapsiagaan negara dalam membangunkan sebuah negara AI.
Advertisement
“Apabila kita bercakap tentang membina negara AI, kita telah mengambil langkah nyata yang menunjukkan komitmen kita dalam membina ekosistem tersebut.
“Hari ini, kita sudah melihat banyak industri beroperasi dengan menggunakan penyelesaian AI. Dari semasa ke semasa, kita akan (membangunkan dan mengguna pakai) penyelesaian ini dengan lebih pantas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan SmartGov Malaysia Summit 2025 dan Malaysia Digital Xceleration (MDX) Summit 2025, KLCC pada Rabu.

Gobind turut berkata negara menjangkakan lebih banyak pelaburan dalam ekonomi digital, sekali gus menuju ke sasaran sumbangan 25.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.
“Bagi ekonomi digital, sektor ini dijangka mencapai 30% sumbangan KDNK menjelang tahun 2030.
“Saya fikir sasaran (25.5%) itu boleh dicapai dan masih banyak kerja yang perlu dilakukan oleh kementerian. Namun, yang penting, kita komited untuk melaksanakannya,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Digital Economic Corporation (MDEC) dalam kenyataan pada Rabu berkata, MDX Summit 2025, yang dijalankan seiring dengan SmartGov Malaysia Summit 2025, menonjolkan perjalanan kerajaan dalam merangkul transformasi digital.
Menurut kenyataan itu, sidang kemuncak berkenaan menunjukkan kemampuan Malaysia dalam memanfaatkan rangkaian 5G seluruh negara dan ekosistem Digital Malaysia (MD) yang lebih luas merangkumi penyelesaian, bakat serta infrastruktur sekali gus menegaskan komitmen negara terhadap keterangkuman, ketahanan dan kelestarian dalam ekonomi digital.
“MDX Summit 2025 bukan sekadar pameran teknologi; ia adalah platform untuk tindakan. Dengan menghubungkan inovator global, bakat tempatan, pelabur dan pembuat dasar, kita sedang membina kerjasama yang akan memacu ekonomi digital Malaysia ke hadapan.
“Bersama SmartGov Malaysia dan Smart City Expo Kuala Lumpur 2025, MDX mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital dipercayai di ASEAN, bersedia untuk mencetuskan masa depan bernilai trilion dolar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil.

