Sekilas
- Alicia Amin berkongsi pengalaman mencabar melakonkan watak aksi sepenuhnya dalam filem Mikael: Pemburu Dua Alam, termasuk mengalami kecederaan pada kaki dan tangan.
- Dia menggunakan stunt double dan mengikuti kelas stunt dari Indonesia untuk memastikan pergerakan tepat dan selamat sepanjang penggambaran.
- Filem Mikael: Pemburu Dua Alam mengisahkan seorang pegawai polis yang menyiasat kes pembunuhan berkaitan makhluk dari alam jin, dan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 2 April.
Pertama kali beraksi dalam filem aksi sepenuhnya, pelakon Alicia Amin akui wataknya dalam filem Mikael: Pemburu Dua Alam antara yang paling mencabar sepanjang bergelar anak seni.
Alicia atau nama penuhnya Raja Alicia Raja Amin berkata dia turut mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tangan ketika mambawa watak Aishah.
"Watak ini merupakan antara yang paling mencabar bagi saya kerana ini kali pertama saya melakonkan aksi sepenuhnya.
"Saya turut mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan jari tangan saya patah. Memang sukar, tetapi saya sedar akan kelemahan diri, dan untuk naskhah akan datang, saya akan lebih bersedia," katanya kepada Gempak.
Alicia berkata demikian ketika menghadiri tayangan perdana filem Mikael: Pemburu Dua Alam di GSC Midvalley Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam masa sama, kehebatan pengarah serta karakter watak tersebut merupakan faktor utama yang membuatkan dirinya bersetuju menyertai filem berkenaan.
"Saya setuju untuk turut serta dalam filem ini kerana pengarahnya, Zahir Omar. Setiap kali bekerjasama dengannya, saya memang teruja untuk melihat hasilnya.
"Saya juga gemar watak-watak yang kuat. Watak saya dalam filem Mikael ini sangat kuat dan ‘cool’,ujarnya.
Sementara itu, Alicia turut mendedahkan dia menggunakan khidmat stunt double, selain mengikuti kelas stunt sendiri bagi memastikan setiap pergerakan tepat
"Saya juga menggunakan stunt double disebabkan kecederaan pada kaki, selain perlu menerima suntikan pada otot. Saya mengikuti kelas stunt dan koreografi dari Indonesia.
"Dia menyediakan latihan yang menarik dan memastikan kami melakukan pemanasan badan dengan betul, termasuk cara mengekalkan kuda-kuda dan sebagainya.
"Fokus latihan hanya sekitar dua minggu, sebelum itu saya hanya menguatkan badan. Mungkin juga kerana badan saya agak lemah. Saya juga ada sedikit penurunan berat akibat keletihan," kongsinya.
Mikael:Pemburu Dua Alam mengisahkan seorang pegawai polis yang menyiasat kes pembunuhan kejam sebelum menyedari ia ada kaitan dengan makhluk dari alam jin. Siasatan tersebut akhirnya membawa kepada pertembungan dengan Raja Jin demi menjaga keseimbangan antara dua dunia.
Filem ini mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 2 April dan dibintangi oleh Remy Ishak, Norreen Iman, Fabian Loo, Alicia Amin dan ramai lagi.