Skip to main content

Berita

Misi FFC: Kesemua Aktivis Malaysia Selamat, Dipindahkan Ke Penjara Ketziot - MyCARE

sfs

Peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) memaklumkan kesemua sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang diserbu tentera Israel pada Rabu telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, peguam ADALAH juga mengesahkan bahawa kesemua 145 aktivis FFC telah dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.

Advertisement

“Peguam ADALAH telah berjumpa dengan sebahagian delegasi dan proses guaman masih berlangsung.

“Ada yang mengalami keganasan semasa pemintasan dan peguam telah meminta untuk bertemu dengan mereka awal petang ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MyCARE di Sri Kembangan pada Khamis.

Sembilan kapal dalam misi kemanusiaan FFC x TMTG itu diserbu Israel sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia pada Rabu, ia melibatkan sembilan delegasi Malaysia, antaranya wartawan Astro AWANI, Syaff Syukri Abdul Jalil.

Jelas Kamarul lagi, setakat ini laporan diterima sembilan delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat.

“Tujuh daripada mereka telah bertemu dengan peguam ADALAH untuk urusan guaman selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata peguam ADALAH akan memulakan proses rundingan dan guaman kepada semua sembilan aktivis Malaysia yang ditahan Israel hari ini.

Jelas beliau lagi, peguam ADALAH juga telah menuntut untuk hadir di semua perbicaraan dan akan memberikan maklumat terkini.

Sementara itu, tiga orang delegasi Ahli Parlimen Turki berkemungkinan akan dihantar pulang malam ini atau pagi esok dan perbicaraan tribunal akan berlangsung dalam tempoh dua hari akan datang.

Sembilan kapal berkenaan adalah antara beberapa kapal konvoi kemanusiaan ke Gaza yang ditahan kurang 120 batu nautika daripada Gaza sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia, semalam.

Lapan aktivis Malaysia menaiki kapal Conscience, terdiri daripada Ketua Misi, Prof. Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Astro AWANI Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah universiti, Prof. Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Manakala, pakar perubatan Dr Maziah Mohammad menaiki kapal Umm Saad milik TMTG.

 Sumber: AWANI

Must-Watch Video

Advertisement